Para pemerhati mendapati, respons diberikan pembaca portal berita dan laman sosial tidak lagi teruja dengan nama Anwar kerana mereka mengharapkan satu yang lebih konstruktif daripada pakatan baharu ini.
“Apabila nama Anwar dibesarkan sebagai calon bakal PM, saya nampak tiada sambutan. Orang awam dilihat tak kisah lagi tentang Anwar,” kata Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisomuddin Bakar (gambar) kepada The Malaysian Insider.
“Anwar semacam tiada faktor ‘wow’ lagi bahkan menjadi negatif apabila diumumkan sebagai bakal perdana menteri.” Menurut Hisomuddin, apabila menteri besar yang juga timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali mengumumkan kedudukan PAS di Selangor tidak terjejas dengan pakatan baharu ini, keadaan menjadi bertambah buruk.
Katanya, Pakatan Harapan dilihat tidak tegas dan orang Melayu melihat Umno lebih tegas dalam pendirian mereka.
Pakatan Harapan diumumkan pembentukannya selepas PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) bermesyuarat dengan kehadiran beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) termasuk bekas timbalan menteri Umno, Datuk Saifuddin Abdullah, pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dan pendakwah Abdul Ghani Shamsudin.
Pengumuman yang dibuat Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Anwar, tidak menarik minat ramai kerana mereka mengharapkan sesuatu lebih konstruktif daripada gabungan baru ini selepas terkuburnya Pakatan Rakyat.
Ia juga berlaku ketika PAS tidak menyertai mesyuarat ini kerana tidak mahu bersama-sama dengan gabungan ini jika DAP dan Amanah menyertainya.
Sumber memberitahu The Malaysian Insider, tiga pemimpin PKR, Azmin Ali, Chua Tian Chang dan Nurul Izzah Anwar cuba untuk memastikan PAS bersama dalam gabungan ini, namun mereka terpaksa menerima hakikat parti Islam itu tidak mahu bekerjasama dengan DAP dan Amanah.
Kata sepakat hampir tidak dicapai sehinggalah pandangan tegas dan bernas diberikan oleh Ahli Jawatankuasa Amanah yang banyak menjadi mangsa serangan PAS, Dr Hatta Ramli.
Menurut sumber, Dr Hatta mengingatkan ahli-ahli mesyuarat tentang penghinaan yang diterima beliau dan rakan-rakannya daripada pemimpin PAS sekarang kerana mempertahankan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, khasnya DAP dan Anwar.
Mesyuarat pada Selasa juga dilihat kekurangan sesuatu apabila Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak dijemput menyertainya sedangkan wakil NGO dijemput.
Bagi anak bekas presiden PAS Datuk Fadzil Noor, Faiz Fadzil (gambar), tanpa PAS, Pakatan Harapan boleh berjaya jika semua parti dalamnya fokus dan komited dengan polisi dan dasar bersama yang diperjuangkan.
Faiz juga mempertahankan pengumuman Anwar sebagai bakal perdana menteri kerana pada masa ini beliau merupakan calon paling layak.
“Namun selagi beliau tidak bebas dan layak bertanding mengikut saluran undang-undang, maka Pakatan Harapan perlu mencadangkan nama lain yang sama berkaliber."
Tentang PSM pula, Faiz berpendapat, Pakatan Harapan tidak menutup ruang untuk membolehkan parti itu bersama dengan syarat mereka bersetuju dengan dasar bersamanya nanti.
Namun menurut Hisomuddin, masalah khusus PSM dengan PKR termasuk dengan ketua umumnya, Anwar menjadi punca parti itu tidak dijemput menyertai mesyuarat pada Selasa.
"Pengalaman berebut kerusi dengan PSM menjelang pilihan raya umum lalu menyebabkan timbul masalah antara PKR dan PSM khasnya dengan Anwar sendiri," kata Hisomuddin merujuk kepada pertandingan tiga penjuru antara PKR dengan PSM dan BN dalam pilihan raya umum ke-13 lalu di beberapa kawasan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan