HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 September 2015

MB Negeri Sembilan tak setuju 1MDB jual aset kepada firma asing

THE MALAYSIAN INSIDER



Datuk Seri Mohamad Hasan berkata penjualan Edra lebih baik diserahkan kepada Tenaga Nasional Berhad berbanding firma asing. – Gambar fail The Malaysian Insider, 24 September, 2015.Datuk Seri Mohamad Hasan berkata penjualan Edra lebih baik diserahkan kepada Tenaga Nasional Berhad berbanding firma asing. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
 
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan membantah cadangan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mahu menjual aset tenaga Edra Global Energy Berhad kepada firma asing, lapor Utusan Malaysia hari ini. 
 
Menurut akhbar milik Umno itu, bantahan Mohamad adalah kerana bimbang tindakan menyerahkan kepada firma asing akan mendedahkan negara kepada risiko keselamatan.

"Saya bukanlah seorang yang anti terhadap perniagaan dilakukan oleh orang asing tetapi cadangan seperti ini secara umumnya tidak baik untuk negara.

"Secara peribadi saya meminta 1MDB, kementerian kewangan dan kerajaan agar memikirkan semua secara masak-masak dan banyak kali cadangan untuk melepaskan aset tenaga negara," katanya seperti dilaporkan akhbar Utusan Malaysia hari ini. Menurut Mohamad, seharusnya aset tenaga itu diserahkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) walaupun tawaran yang dikemukakan lebih rendah sedikit berbanding firma asing.

Katanya, jika aset itu dimiliki TNB semua pihak terutamanya rakyat akan menikmati faedah lebih terjamin kerana aset berkenaan adalah milik tempatan.

"Sejauh mana pun kita mungkin membenci 1MDB tetapi dalam hal ini kita kena berfikir secara rasional dan meletakkan kepentingan negara lebih atas daripada kebencian kita.

"Cukuplah dengan apa yang berlaku mari kita bergerak ke hadapan dan tidak menilai setiap perkara berdasarkan sentimen semata-mata," katanya.


Tiada ulasan: