KUALA LUMPUR, Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos akan dipanggil oleh polis berikutan kenyataannya yang mengancam untuk mengadakan perhimpunan di Jalan Petaling Sabtu ini.


The Star Online melaporkan, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, polis pasti akan mengambil tindakan terhadap Jamal termasuklah menahannya sekiranya cenderung untuk mencetuskan rusuhan.

“Sekiranya beliau didapati cuba mencetuskan rusuhan, tindakan akan diambil. Polia akan memanggilnya tidak lama lagi,” katanya menurut laporan itu.

Noor Rashid berkata, tindakan ke atas Jamal boleh diambil di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah sebagai langkah pencegahan.

Polis juga katanya akan dikerahkan ke Jalan Petaling Sabtu ini sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kami akan memastikan tiada kekacauan berlaku dan keadaan selamat untuk mengunjungi Jalan Petaling,” katanya.

Pada Rabu, pemimpin Gabungan NGO Melayu mendakwa kemungkinan berlaku rusuhan di Jalan Petaling Sabtu ini sekiranya tiada tindakan diambil ke atas peniaga yang didakwa menjual barangan tiruan di Jalan Petaling.