KUALA LUMPUR, Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak dapat menerima alasan yang diberikan oleh dua pemimpin Pakatan Harapan, Dr Ong Kian Ming dan Khalid Samad mengenai ketiadaan parti berkenaan dalam rundingan meja bulat pada Selasa lalu.


Bekas Setiausaha PSM, S Arulchelvan berkata, kenyataan kedua-dua pemimpin berkenaan bahawa PSM tidak menerima Polisi Bersama Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini dan juga menolak Artikel 153 berkenaan hak-hak keistimewaan Bumiputera adalah satu pembohongan dan tidak masuk akal sama sekali.

“Semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), PSM mengeluarkan manifesto yang bertajuk ‘Udahlah tu! Tolak 56 tahun Umno-BN.

“Dalam muka surat 20 dan 21 manifesto berkenaan telah digariskan mengenai hubungan PSM dan PR dan kami telah mengatakan PSM menerima dan menyokong Manifesto PR dan Buku Jingga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, pihaknya langsung tidak mengetahui mengenai dakwaan bahawa PSM menolak hak-hak keistimewaan Bumiputera seperti yang dinyatakan dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

Jelas Arulchelvan, beliau meminta pihak Pakatan Harapan menjelaskan di manakah dan bilakan perbincangan mengenainya diadakan, siapakan pemimpin yang hadir dan bukti yang mengatakan PSM menolak Artikel 153 tersebut.

“Sebelum ini terdapat hanya tiga mesyuarat yang diadakan antara PSM pada PR dan isu Artikel 153 tersebut tidak pernah dibangkitkan dalam ketiga-tiga mesyuarat berkenaan.

“PSM tidak terdesak atau kecewa apabila tidak dijemput untuk menghadiri rundingan berkenaan kerana kami percaya ia adalah hak mutlak penganjur tetapi tidak boleh bertolak ansur dengan pembohongan secara terang-terangan ini.

“Oleh itu PSM mengharapkan agar Pakatan Harapan memberikan penjelasan yang sewajarnya dan kami mendoakan yang terbaik untuk gabungan berkenaan,” ujarnya.