Seorang anggota komando dari Kem Rejimen 21 Komando, Sungai Udang di sini didakwa di Mahkamah Majistret di Melaka hari ini atas pertuduhan memiliki item penerbitan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan IS, pada Ogos lepas.
Tertuduh Muhammad Adibzakir Zahri, 28, berasal dari Alor Setar, Kedah
menganggukkan kepala tanda memahami pertuduhan yang dibacakan, namun
tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Mohd Asri Abd Rahman
Sidik.
Muhammad Adibzakir didakwa memiliki item iaitu penerbitan yang mempunyai
kaitan dengan kumpulan pengganas militan IS di Balai Polis Sungai Udang
di sini pada jam 8.50 pagi 19 Ogos lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh
dilucuthak mana-mana item terbabit, jika sabit kesalahan.
Mohd Asri menetapkan 5 November ini untuk sebutan semula kes dan
permohonan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan