Bajet 2016
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memotong hampir RM7 bilion dalam peruntukan bajet kali ini kata Pengerusi Biro Perdagangan dan Pelaburan PKR, Wong Chen.
Ia sekali gus katanya menunjukkan kerajaan tidak mempunyai dana yang cukup sehingga menyebabkan banyak perkhidmatan kepada rakyat akan dipotong menerusi belanjawan yang dibentangkan.
“Impaknya kepada ekonomi teruk... tidak baik sebab bermakna kerajaan tidak ada duit dan juga minyak dan gas akan lembab.
“Kita dah lihat dalam bajet ini, dia dah potong RM7 bilion dari tahun lalu. Menunjukkan mereka tidak akan mengamalkan lebih ‘social services’ untuk rakyat. Paling teruk adalah isu GST,” katanya kepada Sinar Online ketika ditemui selepas pembentangan Bajet 2016 semalam.
[ARTIKEL BERKAITAN: Najib tidak faham maksud 'zero rated']
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas soal jangkaan kerajaan bahawa harga minyak mentah dunia kekal rendah tahun depan yang bakal memberi kesan kepada pendapatan kerajaan ekoran Petroleum Nasional Bhd (Petronas) penyumbang sejumlah dividen kepada perbendaharaan negara setiap tahun.
Ahli Parlimen Kelana Jaya ini juga berkata, jika keadaan itu dijangka berlaku, harga minyak mentah dunia mungkin akan stabil pada harga AS$50 setong.
“Ini menjadi masalah besar kerana syarikat Petronas walaupun dikawal selia dengan baik, (tetapi) menghadapi pelbagai isu dengan harga minyak mentah rendah ini.
“Impaknya adalah cukai Petroleum akan turun, cukai korporat pun akan turun, jadi, impaknya besar,” katanya.
Bajet 2016 memperuntukkan RM267.2 bilion berbanding RM273.9 bilion bagi bajet tahun lalu iaitu pengurangan sebanyak RM 6.7 bilion.
Sementara, Ahli Jawatankuasa Belanjawan Pakatan Harapan, Dr Ong Kian Ming berkata, ada beberapa elemen progresif dalam Bajet 2016 namun rakyat perlu berhati-hati dengan ‘goodies’ yang diumumkan perdana menteri.
“Saya rasa ada perkara baik dalam bajet. Ada elemen progresif seperti meningkatkan gaji minimum, meningkatkan kadar tetap cukai pendapatan bagi individu bukan pemaustatin yang mempunyai pendapatan bercukai lebih RM600,000 hingga RM 1 juta daripada 25 peratus kepada 28 peratus. Saya rasa itu perkara bagus.
“Tapi kita kena hati-hati dengan 'goodies' yang lain, contohnya, PM banyak umum butir perbelanjaan yang bukan kecil seperti projek MRT, RM900 juta naik taraf Jalan Tun Razak dan pelbagai projek infrastruktur,” katanya.
Jelasnya, semua pengumuman itu tidak termasuk dalam bajet yang akhirnya rakyat perlu membayar.
“Tapi kita tidak nampak sangat jumlahnya sekarang. Jadi, saya rasa kita harus risaukan ini.
“Sebab kalau kita tak bayar, generasi akan dayang yang perlu bayar,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan