HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Oktober 2015

Jerebu: Mana komitmen Malaysia sebagai Pengerusi Asean?

Oleh Azuan Ab Rahman


KUALA LUMPUR: Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2015 perlu memainkan peranan serius dalam menangani masalah jerebu yang berlanjutan sejak awal 90-an.

Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Lee Chean Chung berkata, kerajaan juga seharusnya menunjukkan kewibawaan sebagai anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memanggil semua pihak terlibat bagi mencari penyelesaian holistik masalah berkenaan.

“Kerajaan Malaysia nampak tidak tegas dalam hal ini, sepatutnya sebagai Pengerusi Asean kita perlu lebih lantang berbanding negara lain.

Lee Chean Chung“Pencemaran ini berhubungkait isu kepentingan dan kesihatan rakyat, sekolah pula terpaksa ditutup dan pelajar yang menghadapi peperiksaan berhadapan keadaan sukar, lebih dari itu sektor pelancongan turut terjejas akibat gejala ini,” katanya dihubungi.

Chean Chung yang juga Adun Semambu turut mencabar Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Wan Junaidi Jaafar bagi membuktikan kemampuan beliau menangani masalah ini.

Wan Junaidi pada sidang Dewan Rakyat semalam dipetik berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk memperketatkan undang-undang bagi membanteras jerebu untuk mengelakkannya berulang.

“Jangan hanya bercakap bagi meredakan kegelisahan rakyat, perkara begini telah kerap dilakukan kerajaan dan akhirnya tiada apa-apa perubahan dilaksana.

“Beliau mesti serius dengan membuktikannya, kita tidak mahu perkara sama berulang saban tahun,” ujar Chean Chung.

Jerebu di KLTerdahulu, semua sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur diarah terus ditutup hari ini, berikutan peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan berkenaan, selepas diarah berbuat demikian pada Isnin.

Najib penting kedudukan, ambil ringan kesihatan rakyat

Mengulas lanjut, Chean Chung yang juga Ketua Cabang KEADILAN Indera Mahkota membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana lebih sibuk mempertahan kedudukan politik berbanding mengambil pendirian tegas bagi menggesa kerajaan negara jiran memastikan peristiwa sama tidak berulang.

“Kita lihat kepimpinan Najib sangat lemah, saya merasa sedih apabila dalam keadaan rakyat menderita dan berhadapan dengan situasi sukar, pemimpin negara dilihat tidak memperdulikan kepentingan rakyat, sebaliknya lebih sibuk menjaga kedudukan dan kuasa.

“Sebagai pemimpin sebuah negara yang menjadi Pengerusi Asean, Najib seharusnya menunjukkan kemampuannya memanggil semua pihak terbabit duduk berbincang untuk mencari jalan keluar kepada masalah yang dihadapi rakyat di rantau ini,” tambah pemimpin muda KEADILAN itu lagi.

Tiada ulasan: