HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 Oktober 2015

Jerebu: Mungkinkah seteruk tahun 1997?

Jerebu
Gambar hiasan.


SHAH ALAM – Masalah jerebu yang melanda beberapa negeri di negara ini bukanlah satu isu baharu.

Saban tahun, masalah jerebu ini sering kali menjadi topik hangat yang dibincangkan dari peringkat dalam negara hingga ke peringkat antarabangsa.

Pelbagai pihak tampil membuat kenyataan, tidak kurang juga mencadangkan pelbagai langkah penyelesaian bagi mengurangkan kesan jerebu ke atas masyarakat dan produktiviti  negara.

Ini termasuk tindakan undang-undang ke atas pihak dan negara yang menyebabkan masalah ini berlaku.

Memetik maklumat daripada laman Wikipedia, jerebu buat pertama kali muncul dan mengganggu kehidupan seharian di Malaysia pada April 1983.

Pada waktu itu, tidak ada pihak dapat memastikan punca jerebu berlaku.

Bagaimanapun terdapat pihak membuat andaian bahawa jerebu berpunca dari abu terapung letusan gunung berapi, zarah asap terapung dari hutan terbakar besar-besaran, pembakaran terbuka pertanian di negeri jiran, dan juga pembakaran pertanian tempatan.

Gangguan ini berterusan sejak Ogos 1990 dan berulang setiap tahun sejak 1992.

Masalah ini berlarutan saban tahun dan mencatatkan rekod terburuk pada tahun 1997 apabila punca jerebu pada masa itu diletakkan sepenuhnya pada pembakaran hutan dan perladangan di Sumatra Selatan,Kalimantan dan beberapa pulau lain di Indonesia.

Pada waktu itu, kawasan yang terbabit dengan kebakaran telah dianggarkan sebagai bersaiz 4 juta padang bola sepak dan kelihatan malah dari angkasa.

Kebakaran hutan di Indonesia menghasilkan awan asap kuning yang menutupi kawasan seluas Asia Tenggara hingga ke utara Australia. 

Jutaan orang terpaksa mengenakan topeng dan beratus-ratus kematian dilaporkan di Indonesia, akibat kesan langsung atau tidak langsung kemerosotan kualiti udara.

Kesan Jerebu ini telah menyebabkan Indeks Pencemaran Udara meningkat dengan membimbangkan pada tahap merbahaya.

Dalam tempoh dalam enam bulan sahaja, 10,000 orang dilaporkan mendapatkan rawatan akibat masalah kesihatan yang dihadapi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada ketika itu mengistiharkan darurat serta merta akibat keadaan jerebu yang membimbangkan.

Ratusan sekolah, pejabat kerajaan dan kedai di seluruh negara, termasuk bidang pembinaan dan industri yang ditutup dan dihentikan operasi sepenuhnya.

Dalam keadaan mendesak, akhirnya muncul rancangan bijak yang mencadangkan pasukan pemadam api Malaysia untuk membantu memadamkan kebakaran di negara jiran.

Operasi Haze merupakan misi memadam api merentasi sempadan terbesar dalam sejarah yang membabitkan anggota pemadam api Malaysia yang menyeberangi ke negara sebelah.‎

Operasi tersebut merupakan misi memadam api terbesar dalam sejarah di mana pasukan bomba Malaysia berjuang untuk memadamkan api di sepanjang Sumatera dan Kalimantan selama lebih dari 25 hari.

Pasukan pemadam api juga berhadapan dengan halangan besar dengan jumlah bilangan api yang dihadapi.

Pada kemuncak kebakaran ladang dan hutan yang besar, bilangan titik panas mencecah sehingga 37,938, yang berlaku pada Ogos 1997.

Pasukan bomba juga dilaporkan berhadapan dengan banyak masalah akibat kekurangan peralatan yang bersesuaian.

Mereka juga berhadapan dengan masalah kekurangan sumber air dan kesulitan untuk mengenal pasti punca api jauh dalam tanah gambut.

Pada hari ini, ketika masalah jerebu dilaporkan kian meruncing dan memberi kesan kepada rakyat di kedua negara, Malaysia akhirnya tampil menyatakan kesediaan untuk membantu Indonesia memadamkan kebakaran di hutan negara berkenaan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd Noor Ibrahim berkata, pihaknya sedia menghulurkan bantuan sekiranya mereka (Indonesia) memerlukan sokongan negara luar termasuk Malaysia untuk membantu menangani masalah jerebu yang kian meruncing kebelakangan ini.

"Kebiasaannya, jika negara luar meminta bantuan negara kita terhadap sesuatu bencana, sudah semestinya mereka akan berhubung dengan kerajaan kita terlebih dahulu.

"Oleh sebab itu, kami memang bersedia untuk membantu jika keadaan memerlukan tetapi ia bergantung kepada pihak kerajaan sendiri kerana mereka yang memutuskan sama ada untuk menghantar pihak bomba menyertai misi memadam kebakaran yang melanda hutan di Indonesia," katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Katanya, pihak bomba Malaysia mempunyai aset yang lengkap dan kemahiran yang diperlukan sekiranya mereka terpilih untuk menggalas misi memadam kebakaran yang berlaku di hutan dalam kawasan Sumatera dan Kalimantan itu.

Masalah jerebu pada tahun 1997 telah mengakibatkan sektor industry pelancongan terjejak teruk.

Dalam pada itu, dianggarkan lapan hingga 10 juta hektar hutan musnah, lebih 40,000 orang mengalami masalah kesihatan akibat jerebu dan mendapatkan rawatan dari hospital serta banyak kematian dilaporkan.


Tiada ulasan: