HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 Oktober 2015

Khairuddin bebas denggi, kembali ke lokap Dang Wangi, kata peguam



Bekas pemimpin Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pulih daripada demam denggi dan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi selepas dibenarkan keluar hospital, semalam. – Gambar fail The Malaysian Insider, 6 Oktober, 2015.Bekas pemimpin Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pulih daripada demam denggi dan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi selepas dibenarkan keluar hospital, semalam. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Bekas pemimpin Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, dibenarkan keluar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam, selepas doktor mengesahkan beliau kini pulih sepenuhnya daripada demam denggi.

Khairuddin yang ketika ini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) meninggalkan HKL lewat semalam selepas menerima rawatan selama lebih 2 minggu.

Peguamnya Mathias Chang berkata, Khairuddin kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi sementara menunggu permohonan habeas corpus beliau didengar pada 13 Oktober.

"Saya dimaklumkan dia dibenarkan keluar semalam. "Dia akan ditahan di Dang Wangi sehingga perbicaraan kes habeas corpus pada 13 Oktober. Saya akan bertemunya esok," kata Chang.

Khairuddin pada 28 September memfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, mencabar penahanannya di bawah akta itu yang menurutnya tidak mengikut undang-undang.

Beliau ditahan di bawah undang-undang anti-keganasan itu kerana membuat laporan polis terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan dimasukkan ke hospital pada petang 25 September kerana demam panas yang kemudiannya disahkan sebagai denggi.

Sumber yang biasa dengan kes itu memberitahu The Malaysian Insider, reman Khairuddin berakhir pada 21 Oktober, bermakna beliau akan mendapat pembebasan awal sekiranya memenangi kes itu.

Bernama melaporkan 4 hari lalu, beliau mendakwa penahanannya di bawah Sosma satu penyalahgunaan proses undang-undang kerana tindakannya sama sekali tidak berkaitan dengan keganasan.

Khairuddin ditahan semula mengikut Sosma pada 23 September di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas perintah reman terdahulu ke atasnya, di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan, tamat.

Beliau pertama kali ditahan polis di rumahnya di Mont Kiara pada 18 September mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen.

Terdahulu pada hari yang sama, beliau dan Chang dihalang daripada meninggalkan negara oleh pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Khairuddin ditahan kerana tindakannya menggunakan agensi penguatkuasaan asing bagi memberikan tekanan kepada Malaysia berhubung isu 1MDB boleh dianggap mensabotaj negara.

Khairuddin pertama kali membuat laporan polis terhadap syarikat sarat hutang milik negara itu pada Disember tahun lepas, dan dipecat daripada Umno apabila diisytiharkan muflis.

Beliau turut membuat laporan kepada pihak berkuasa di Hong Kong, Switzerland, Perancis dan United Kingdom terhadap firma yang bermasalah itu, di mana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merupakan pengerusi lembaga penasihatnya.

Beliau dilaporkan sedang dalam perjalanan untuk bertemu pegawai Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat ketika dihalang meninggalkan negara.


Tiada ulasan: