HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Oktober 2015

Najib nafi 1MDB berhutang dengan IPIC

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak menafikan dakwaan syarikat strategik milik Kementerian Kewangan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhutang dengan syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Corporation (IPIC) sebanyak AS$481 juta.  
 
Ujar Najib, penyata kewangan 1MDB yang berakhir 31 Mac 2014 tidak menyatakan jumlah terbabit yang dikatakan ditanggung oleh syarikat berkenaan.
 
"Nota di dalam penyata kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 31 Mac 2014 dengan jelas menyatakan tiada jumlah tersebut yang ditanggung 1MDB terhadap IPIC.
 
"Ingin ditekankan juga, mana-mana pihak berhak menentukan kaedah pelaporan penyata kewangan mereka," jelasnya menerusi satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini. 
 
Jawapan itu sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berhubung jumlah pembayaran yang dibuat 1MDB untuk menebus opsyen syarikat Powertek Investment Holding dan 1MDB Energy (Langat) daripada Aabar Investment.
 
Selain itu Pua turut bertanya sama ada 1MDB masih berhutang sebanyak US$481 juta seperti tercatat dalam laporan audit IPIC untuk Disember 2014.
 
Pua yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP sebelum ini berkata, The Wall Street Journal (WSJ) mendedahkan 1MDB meminjam AS$3.5 bilion dengan jaminan IPIC dan meletakkan AS$1.4 bilion 'deposit boleh bayar balik' sebagai cagaran dengan IPIC.
 
Syarikat itu kemudiannya menamatkan pilihan yang diberikan kepada IPIC atau anak syarikatnya, Aabar Investment dan membayar pampasan AS$993 juta daripada November 2014, AS$1.22 bilion daripada pelaburan 1MDB di Kepulauan Cayman dan AS$975 juta pinjaman daripada konsortium yang diketuai Deutsche Bank.
 
Ekoran itu, didakwa 1MDB masih lagi berhutang dengan IPIC sejumlah AS$481 juta sehingga 31 Disember, 2014.
 
 

Tiada ulasan: