HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 Oktober 2015

Laman sesawang Malaysia Chronicle pula disekat



Laman web Malaysia Chronicle disekat aksesnya, dan laman Facebooknya menunjukkan langkah-langkah untuk mengatasi sekatan tersebut. – Gambar Facebook Malaysia Chronicle, 24 Oktober, 2015.  
Laman web Malaysia Chronicle disekat aksesnya, dan laman Facebooknya menunjukkan langkah-langkah untuk mengatasi sekatan tersebut. – Gambar Facebook Malaysia Chronicle.
 
 
 
Seorang pengarang Malaysia Chronicle mengesahkan hari ini, laman sesawang pengumpul berita (aggregator) itu disekat aksesnya semalam, menjelang pembentangan Bajet 2016 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kunjungan ke alamat laman sesawang itu di www.malaysia-chronicle.com membawa kepada satu mukasurat dengan notis: Laman sesawang ini tidak boleh diperolehi di Malaysia kerana ia melanggar undang-undang negara".

Wong Choon Mei berkata, pasukan mereka terkejut dengan perkara itu dan menyalahkan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Beliau berkata sekatan itu bermula sekitar tengah hari semalam, beberapa jam sebelum Najib memulakan ucapan di Dewan Rakyat.

Katanya, pada masa itu, serentak dengan laporan berita polis akan mengambil tindakan terhadap bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia satu kejutan besar kepada kami kerana kami hanya sebuah laman sesawang aggregator (laman sesawang atau program yang mengumpul bahan yang berkaitan dengan kandungan dan memaparkannya atau memberi pautan kepadanya).

"Kami harap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan menimbang semula tindakan yang hanya dilihat sebagai langkah tidak produktif dan amat tidak sihat untuk menyekat pandangan alternatif dan kritikal.

"Sebagai perdana menteri, beliau hanya akan dihormati sekiranya beliau mempertahankan moral yang tinggi, walau apa saja yang terjadi – itu kewibawaan yang paling minimum diperlukan dari seorang perdana menteri," kata Wong kepada The Malaysian Insider hari ini.

Wong bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada SKMM ada menghantar sebarang notis kepada mereka.

Malaysia Chronicle juga memaparkan di Facebook hari ini, memaklumkan kepada pembacanya bagaimana untuk mendapat akses kepada laman sesawang mereka yang disekat itu.

Ia menunjukkan langkah yang perlu dilakukan untuk menyesuaikan server nama domain (DNS)tempatan pengguna laman sosial itu.

The Malaysian Insider sedang berusaha mendapatkan maklum balas daripada SKMM dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia berhubung sebab sekatan dikenakan ke atas Malaysia Chronicle.

SKMM pada Julai menyekat akses di Malaysia ke atas laman sesawang pemberi maklumat Sarawak Report yang berpangkalan di United Kingdom, atas alasan artikelnya berhubung dana pelaburan kontroversi milik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakan ancaman kepada ketenteraman dan keselamatan negara.

Sarawak Report masih disekat hingga kini tetapi boleh diakses melalui rangkaian peribadi maya (virtual private networks).


Tiada ulasan: