HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Oktober 2015

Pelaburan KWSP di 1MDB dalam risiko

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL


KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan semua badan kerajaan lain perlu mengambil tindakan segera untuk melupuskan sebarang pegangan bon atau pelaburan di dalam 1Malaysian Development Berhad (1MDB) kerana badan pelaburan tersebut mempunyai  risiko kewangan yang tinggi.

‎Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, bon 1MDB yang dipegang oleh KWSP melibatkan kadar faedah yang jauh lebih tinggi dari bon-bon institusi kerajaan sehingga mencecah dua kali ganda lebih tinggi iaitu 9.85 peratus.

Menurut Rafizi lagi, perkara tersebut disahkan oleh  Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani semalam ketika menyatakan pendirian kerajaan mengenai pelaburan KWSP di dalam 1MDB.

"Kadar yang lebih tinggi sehingga mencecah dua kali ganda ini adalah tindak balas pasaran kepada risiko pelaburan di dalam 1MDB yang menyebabkan pasaran menetapkan 1MDB membayar kadar faedah yang lebih tinggi kerana risiko kewangan 1MDB," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: 1MDB: Pelaburan KWSP tidak akan terjejas]

Semalam, Johari berkata, pelaburan KWSP dalam 1MDB tidak membawa sebarang risiko.

Menurut Johari, jumlah pelaburan KWSP di dalam 1MDB adalah kecil berbanding dana KWSP dan 1MDB membayar kadar faedah yang tinggi di atas pelaburan KWSP iaitu di antara 7.7 peratus hingga 9.85 peratus terhadap pelaburan KWSP di dalam Jimah Energy Ventures dan di antara 8.25 peratus hingga 8.35 peratus  terhadap pelaburan KWSP di dalam Panglima Power Sdn Bhd.

"Timbalan Menteri Kewangan sebenarnya tidak sedar bahawa jawapan beliau itu secara langsung mengesahkan bahawa pelaburan KWSP di dalam 1MDB sebenarnya mempunyai risiko tinggi.

"Jumlah pelaburan KWSP di dalam 1MDB bukannya kecil dan berjumlah RM1.72 bilion. Jumlah RM1.72 bilion adalah satu jumlah yang besar, apatah lagi bila dana ini adalah simpanan wang rakyat yang diuruskan oleh KWSP," katanya lagi.

Menurut beliau, Johari sepatutnya tidak mengambil ringan sebarang urusniaga yang melibatkan simpanan wang rakyat tidak kiralah berapa jumlahnya.

"Dalam perkara ini, pelaburan KWSP di dalam 1MDB yang berjumlah RM1.72 bilion adalah cukup besar. Ukuran sama ada sesuatu pelaburan bon itu mempunyai risiko tinggi itu atau tidak bergantung kepada kadar faedah yang perlu dibayar oleh peminjam kepada pemegang bon.

"Kadar faedah yang biasa dibayar oleh institusi kerajaan (termasuk GLC utama) selalunya tidak jauh bezanya dari kadar faedah yang dibayar oleh kerajaan. Bon-bon kerajaan pada kadar semasa selalunya melibatkan kadar faedah  tidak melebihi lima peratus, maka bon institusi kerajaan (seperti 1MDB yang dimiliki kerajaan) sepatutnya tidak jauh berbeza dari lima peratus," katanya lagi.


Tiada ulasan: