Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak mengakhiri pembentangan belanjawan 2016 petang ini dengan menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya tidak akan jemu untuk berbuat kebaikan kepada rakyat.
Semua itu, katanya dibuat sebagai mengambil pengajaran daripada sepotong ayat al-Quran dalam surah An-Nisa’ yang menyeru pemimpin menjaga hak dan menghukum dengan saksama terhadap keperluan rakyat.
“Demikianlah, kerajaan ini tanpa jemu-jemu dan putus-putus ingin membuat kebaikan dan kebajikan kepada sekalian rakyat.
“Sejak dulu, kesemuanya tidak terbina dengan mudah atau dalam sekelip mata. Ia menuntut kesungguhan dan pengorbanan atas nama kebaktian pada nusa dan bangsa,” katanya yang juga perdana menteri.
Justeru, ucapan Najib, ketika susah payah untuk membina negara, beliau kesal dengan tindak-tanduk musuh yang cuba merosakkan imej negara ini.
“Waima, wujud sesetengah orang, yang kita sendiri kadang-kadang tidak tersangka-sangka, atau terduga-duga, ibarat api di dalam sekam, mennjadi gunting dalam lipatan,” katanya.
Najib juga berkata, “dalam menghela nafas keinsafan”, beliau mengakui walaupun seorang pemimpin, beliau juga seorang manusia biasa seperti orang lain yang mempunyai kelemahan.
Beliau bagaimanapun tegas akan mengharungi segala cabaran dan menyifatkan perkara itu sebagai adat orang berjuang.
“Nescaya, dengan dipersaksikan masa dan dineraca oleh waktu, yang benar tetap benar, sejarahnya kelak menjadi bukti,” katanya lagi.
Najib hari ini menyampaikan belanjawan 2016 bertemakan 'Mensejahtera Kehidupan Rakyat', dalam pembentangan pendek kira-kira 90 minit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan