KELAB GREENBOC
Bekas pemimpin dan aktivis PKR daftar parti baharu?
Ahli PKR seumur hidup, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mendakwa
ada gerakan dalam kalangan pemimpin dan aktivis parti itu untuk
menubuhkan parti baharu.
Dia mendakwa telah mendapat maklumat daripada seseorang dari Pejabat
Pendaftar Pertubuhan di Putrajaya bahawa kumpulan berkenaan telah hadir
untuk mendaftarkan parti itu pada minggu lalu.
Katanya, seramai 13 orang telah hadir untuk mendaftarkan parti baharu itu.
“Saya cuba mendapatkan butiran lanjut dan dikenal pasti antaranya ialah
individu yang mengaku sebagai Presiden Akar Umbi Keadilan yang kini
memegang jawatan sebagai Naib Ketua Cabang, Pengarah Pilihanraya DUN
Bukit Antarabangsa, bekas Setiausaha Kerja Pemuda Pusat, bekas
Setiausaha Kerja PKR Pusat dan beberapa orang lain yang turut masih
memegang jawatan di peringkat Pusat.
“Cuma pelik kerana apa relevannya tindakan ini ? Ramai mungkin menuduh
mereka ejen UMNO tetapi jika ia usaha musuh kenapa dibuat secara
senyap?” katanya.
Dakwaan terbaharu Chegubard itu turut disebarkan menerusi aplikasi WhatsApps.
Dia mendakwa, selepas siasatan lanjut dilakukan kemungkinan ia usaha
terancang dan kemungkinan turut melibatkan sekutu lain parti
pembangkang.
“Adakah Pas terlibat ? Adakah ia kena mengena dengan proses rampasan
kuasa kartel Azmin (Mohamed Azmin Ali) yang mengasak Mesyuarat MPP Khas
mempertikaikan tindakan Presiden dan kemungkinan wujud undi tidak
percaya?
“Saya mengingatkan diri sendiri dan semuanya, UMNO dan Barisan Nasional
tidak kuat namun dalam sejarah membuktikan lawan berpecah dan lemah
menjadi kekuatan regim. Hati – hati dengan “trojan Hourse”….” katanya.
Sebelum ini Chegubard mendakwa kumpulan penyokong Azmin cuba
menggulingkan Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan
mendesak diadakan mesyuarat MPP khas bagi membincangkan semula sokongan
dan penyertaan PKR dalam Pakatan Harapan.
Dia mendakwa sekiranya Wan Azizah membuat u-turn terhadap keputusan itu,
ia sudah tentu memalukan Presiden kerana tidak sokongan penuh Ahli
Majlis MPP. -FMT
ULASAN GB
Jika laporan di atas adalah benar, maka ternyata ia adalah satu usaha
pihak tertentu yang cuba untuk menggagalkan pendaftaran Pakatan Harapan
yang terbentuk hasil dari rundingan meja bulat yang diumumkan oleh DS
Wan Azizah. Apatah lagi nama parti baru itu ialah "Harapan Rakyat",
mirip dengan nama "Pakatan Harapan". Ia seolah-olah cuba mengelirukan
rakyat dengan nama itu dan cuba menghalang RoS untuk menafikan
pendaftaran Pakatan Harapan.
Seterusnya kita berteka-teki pula ia kerja siapa.
Sebelum ini sudah ada laporan mengenai satu petisyen yang dikatakan
ditandatangani oleh 22 Ahli Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR supaya
mesyuarat tergempar diadakan susulan penubuhan Pakatan Harapan selepas
sesi sidang meja bulat, 21 September lalu.
Mereka menyifatkan keputusan yang dibuat itu sebagai tergesa-gesa.
Walau bagaimanapun seorang pimpinan PKR menyatakan penandatangan
petisyen itu silap apabila mereka berkata presiden bertindak
bertentangan dengan kehendak MPP.
"Selepas kami berbincang dengan panjang lebar dalam mesyuarat pada 20
September, presiden akhirnya memberitahu MPP: 'Beri saya mandat untuk
membuat keputusan apa yang perlu dilakukan semasa perbincangan meja
bulat'.
"Dan mereka bersetuju dengan itu. Jadi ia tidak sepatutnya menjadi isu
sama sekali," kata sumber itu dengan syarat tidak dinamakan.
Beliau mendakwa tidak semua penandatangan sebahagian daripada "puak
Azmin"; beberapa penandatangan kemudian menyesal menandatangani petisyen
itu apabila keadaan situasi dijelaskan kepada mereka, katanya.
Sumber itu berkata, beliau berpandangan tiada gunanya melambatkan
pelancaran Pakatan Harapan kerana PAS tidak akan mahu menyertainya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan