HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Oktober 2015

Tak mungkin saya gunting dalam lipatan

Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada program Bicara Minda, 'Berani Kerana Benar' anjuran Sinar Harian di Johor Bahru, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI
 
 
JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] "Saya bukan gunting dalam lipatan atau api dalam sekam, tak mungkin saya akan berbuat begitu kerana saya sayangkan Umno," demikian kata Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
Beliau berkata demikian mengulas ucapan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak semalam yang menyatakan amat kesal dengan tindak-tanduk tidak bertanggungjawab oleh musuh dari dalam dan luar yang cuba mempalit dan merosakkan imej negara ini.
 
"Saya tak biasa buat begitu, sebab saya sayangkan Umno, kalau saya tidak kejar dia (Najib) barangkali saya masih boleh kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri.
 
"Kalau saya berdiam diri, selamatlah saya, tak payah ada majlis pada hari ini," katanya pada program Bicara Minda anjuran Sinar Harian bertajuk 'Berani Kerana Benar' di Hotel Bluewave, di sini, hari ini.
 
Najib semalam sebelum menutup tirai pembentangan Bajet 2016 berkata, "kita berasa kesal, bahkan sebenarnya, kita amat-amat kesal dengan tindak-tanduk tidak bertanggungjawab oleh musuh dari dalam mahupun luar, yang cuba mempalit dan merosakkan imej negara ini.
 
"Pada kita perbuatan segelintir pihak ini, akan hanya memporak-perandakan, sampai boleh memusnahkan apa yang terbina selama ini."
 
Sementara itu, mengulas lanjut, Muhyiddin juga berkata, walaupun parti pembangkang dalam keadaan kucar-kacir, namun parti pemerintah itu sukar untuk meraih sokongan rakyat jika integriti Najib terus dipersoalkan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Saya sahaja bersuara, yang lain buat apa?]

"Kita tahu pihak pembangkang sedang kucar-kacir, orang pasti tak nak bersama-sama kita kerana kita tak amanah dan kita dilihat disalut dengan rasuah atau dilihat melakukan kemungkaran," jelasnya.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata lagi, beliau sedia diambil tindakan kerana tanggungjawabnya menegur kepimpinan parti agar tidak terus hilang kepercayaan rakyat.

"Sebab itu perlu ada usaha, tak apa saya terima beban, saya disingkir, lepas ini mungkin saya nak dibuang, tak menjawat jawatan lagi atau dipecat dari Umno, wallahuaklam.

"Itu sebab saya fikir kita kena ikhlas dalam apa yang saya lakukan," katanya lagi.


Tiada ulasan: