HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 April 2016

Ada implikasi isytihar Bukit Merah kawasan bencana, darurat

 
Antara implikasinya adalah kewangan terutamanya bayaran pampasan kepada petani-petani.


zahid-bukit-merah


PUTRAJAYA: Kawasan bencana atau berada dalam keadaan darurat belum boleh diisytiharkan di Bukit Merah, Perak yang terjejas ekoran cuaca panas dan kering.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan perlu meneliti aspek perundangan dan kewangan berkaitan terlebih dahulu.

Beliau mengesahkan Putrajaya telah menerima permohonan daripada kerajaan Perak untuk mengisytiharkan Bukit Merah sebagai kawasan bencana atau dalam keadaan darurat.

“Pihak Persekutuan memikirkan bahawa beberapa langkah harus dilakukan terlebih dahulu untuk menyelesaikan masalah, bukan setakat mengisytiharkan darurat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat, di Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

“Harus dilihat implikasi kewangan terutamanya bayaran pampasan kepada petani-petani.”

Sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata penyelesaian segera perlu dilakukan kerana petani berdepan kesukaran mendapat bekalan air untuk penanaman padi.

Mengambil maklum seruan itu, Ahmad Zahid berkata jawatankuasa hari ini turut membincangkan langkah dan kaedah mengatasi keadaan di Bukit Merah.

“Beberapa kaedah telah dicadangkan termasuk pemasangan paip air ke Tasik Merah, mendalamkan dan meninggikan kawasan di Tasik Merah tetapi kos terlalu tinggi.

“Itu beberapa alternatif yang akan diperbincangkan secara halus oleh Jawatankuasa teknikal dan tindakan segera akan diambil,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, jawatankuasa teknikal itu akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Sementara itu, pihak jawatankuasa turut dimaklumkan bahawa simpanan air di tujuh daripada 41 empangan berada di tahap membimbangkan.

Empangan berkenaan ialah Gemencheh, Negeri Sembilan; Timah Tasoh, Perlis; Bukit Merah,Perak dan empat kawasan di Johor iaitu Lebam, Congok, Layang dan Labong.

“Beberapa langkah segera kita telah lakukan iaitu melalui khidmat nasihat teknikal telah bersetuju untuk memastikan air di kawasan pengairan mesti dibantu oleh pam-pam bergerak dan dibantu oleh sumber sungai, kolam tasik dan air bawah tanah,” ujar beliau.

Tiada ulasan: