Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan firma senjata api yang dikaitkan dengan anak perempuannya itu memperolehi lesen perniagaan sebelum beliau dilantik menjadi ketua polis negara.
Malah, Khalid berkata beliau juga telah melarang syarikat milik anaknya itu untuk membida sebarang tender senjata api berkaitan kerajaan atau polis.
"Mereka memperolehi lesen berniaga dan memperbaiki senjata api sebelum saya jadi ketua polis negara lagi.
"Saya juga telah melarang mereka membida apa jua tender kerajaan dan polis, jadi mereka tidak ada mendapat apa-apa tender pembekalan senjata dari kerajaan dan polis," kata Khalid dalam sidang media selepas Bicara Persada XXIX bersama IGP di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi hari ini.
PERKASA semalam dilaporkan menggesa Khalid menjelaskan sekiranya firma senjata api yang dikaitkan dengan anak perempuannya mendapat manfaat daripada kedudukannya sebagai ketua polis negara.
Ketua Biro Pemantauan dan Integriti PERKASA, Azrul Akmal Saharudin berkata Khalid perlu menjelaskan bila syarikat senjata api anaknya itu ditubuhkan dan adakah syarikat itu beroperasi ketika beliau memegang jawatan ketua polis negara.
Mengulas lanjut, Khalid berkata jika benar dakwaan firma senjata api milik anaknya mendapat manfaat daripada kedudukannya sebagai IGP, sudah pasti portal seperti Sarawak Report akan mendedahkan segala bukti mengenainya.
"Kalau ada (mendapat manfaat) sudah tentu Sarawak Report telah dedahkan segala bukti mengenainya. Kerana mereka memang mencari benda-benda macam itu," tegas Khalid.
Malah, Khalid berkata adalah lebih baik untuk beliau tidak mengulas lanjut perkara itu kerana pasti siasatan akan dijalankan.
"Saya rasa elok ia tak beri banyak kenyataan mengenainya kerana saya pasti siasatan akan dijalankan dan jika saya jelaskan lagi banyak mengenai perkara ini ia hanya akan menjejaskan siasatan.
"Jadi, biarlah siasatan dilakukan kerana jika ada apa saja perkara yang melanggar peraturan tindakan akan diambil," tambah Khalid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan