Sedangkan rakyat Sarawak turut terkesan dengan tindakan Kerajaan Persekutuan, kata Salahuddin Ayub
PETALING JAYA: AMANAH berkata strategi Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem untuk tidak membangkitkan isu-isu nasional adalah silap kerana dasar Persekutuan turut memberi kesan kepada rakyat Sarawak.
Memberi contoh, Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata rakyat Sarawak turut terbeban dengan kesan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
“Bagi kami semua polisi dan apa yang berlaku dan dibuat di Pusat ini membebankan rakyat Sarawak secara keseluruhannya. Lihat apa yang berlaku kepada GST.
Siapakah dari kalangan rakyat Sarawak tidak merasai bebanan dari sistem cukai yang dibuat oleh Putrajaya ini?,” katanya dalam satu kenyataan dibuat hari ini.
Sementara itu, Salahuddin berkata AMANAH menampilkan calon-calon daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran agar dapat membentuk blok pembangkang yang berkesan agar ketirisan di peringkat kerajaan dapat dibaiki.
Katanya, calon-calon AMANAH bersedia untuk mewakili wajah Sarawak yang baru.
“Atas dasar itulah kami kemukakan calon dari pelbagai latar belakang, profesional, agamawan, wanita, aktivis orang kelaian upaya (OKU) dan sebagainya. Semuanya untuk Sarawak.
“Kami yakin hanya pembangkang yang kuat saja dapat menyelamatkan Sarawak,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan