Calon Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) bagi kerusi Marudi, Penguang Manggil dilapor menerima ugutan bunuh semalam, sehari sebelum hari penamaan calon.
Menurut laporan Seehua Daily hari ini, beliau didatangi empat orang yang tidak dikenali ketika berjalan ke arah bank dari hotel berhampiran di Marudi pada pukul 1.30 petang semalam.
Dengan cara yang menakutkan, kata laporan itu, empat individu memberitahu bahawa Penguang akan ditembak oleh seorang "anak pemanca".
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Dev Kumar berkata, polis telah memulakan siasatan dan akan memanggil 'anak pemanca' itu untuk membantu siasatan.
'Pemanca' adalah seorang pemimpin masyarakat tempatan di kalangan peribumi Sarawak.
Sementara itu, The Borneo Post melaporkan Ketua Penerangan Pemuda SPDP, Jaya Ramba Henry Gomes juga menerima empat ancaman bunuh antara pukul 1 dan 3 pagi semalam.
Penguang dipetik oleh akhbar harian itu berkata, "Saya mengambil ancaman ini secara serius dan mahu pihak berkuasa berkaitan untuk menyiasat dengan segera", namun enggan mengulas lanjut.
Penguang bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri Marudi, yang sebelum ini disandang oleh wakil rakyat SPDP Sylvester Entri Muran selama empat penggal.
Bagaimanapun, Slyvester sejak menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) iaitu sebuah parti serpihan SPDP tidak dipilih untuk mempertahankan kerusinya.
Penguang bertanding melawan calon PKR Elia Bit dan calon bebas Louis Julong, dengan tarikh pengundian ditetapkan pada 7 Mei. Jaya Ramba merupakan ketua publisiti Penguang untuk pilihan raya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan