LUNDU: Datuk Seri Najib Razak berkata kegagalan pembangkang mencapai
kesepakatan dalam pengagihan kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak
ke-11 (PRN-11) menjadi petanda mereka tidak mampu menubuhkan kerajaan
yang kukuh.
Perdana Menteri berkata, kegagalan DAP dan PKR mencapai kesepakatan
dalam agihan kerusi di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu,
sekali gus menunjukkan mereka tidak mampu berpakat untuk berkhidmat
kepada rakyat Sarawak.
Najib menegaskan kemenangan tanpa bertanding Barisan Nasional (BN)
Sarawak di dua DUN iaitu Bukit Sari dan Bukit Kota menjadi bukti ikatan
sesama pembangkang sememangnya terlalu longgar.
"Ini satu petanda bahawa mereka tidak mampu menubuhkan kerajaan yang
boleh membawa keyakinan kepada rakyat Sarawak kerana pada peringkat awal
lagi mereka sudah gagal mencapai kesepakatan.
"Oleh itu, pengundi Sarawak tidak harus memberi sokongan kepada
pembangkang kerana masa depan Sarawak akan menjurus kepada masa depan
yang lebih sejahtera dan lebih makmur sekiranya BN dapat memerintah
secara berterusan," katanya selepas hadir di Pusat Penamaan Calon
Tanjung Datu di sini hari ini.
Najib, yang juga Pengerusi BN, mahukan semua jentera pilihan raya BN
Sarawak bekerja keras bagi memenangi pilihan raya ini dengan lebih
cemerlang.
"Jangan menganggap kemenangan itu sudah dalam tangan walaupun kita mempunyai tahap keyakinan yang tinggi.
"Kita ingin majoriti lebih bukan sahaja dari segi bilangan kerusi
tetapi merampas balik kerusi dari pembangkang dan juga meningkatkan undi
populariti supaya kerajaan BN Sarawak yang dipimpin oleh Adenan (Ketua
Menteri, Tan Sri Adenan Satem) adalah kerajaan kuat, kukuh dan mewakili
semua kaum secara saksama.
"Ini amat penting kerana kita mempunyai agenda yang besar untuk
Sarawak. Kita ingin supaya perpaduan dapat kita pelihara dan perkukuhkan
dalam membentuk sebuah kerajaan yang merupakan kesinambungan nanti,"
katanya.
Najib berkata banyak agenda besar akan dilaksanakan dalam tempoh lima
tahun akan datang untuk negeri Sarawak. Kerajaan pusat akan memberi
kerjasama, sokongan dan juga dana sebanyak mungkin serta termampu supaya
impian yang kita kongsi bersama iaitu Sarawak akan terus maju seiring
dengan Semenanjung akan menjadi kenyataan," katanya.
Najib berkata PRN ke-11 akan menjadi pelopor dan memperkukuh keyakinan
BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) namun "kita tidak akan mengambil
mudah". Kejayaan BN di Sarawak akan menjadi sangat penting untuk badan
gabungan itu menetapkan momentum ke arah pilihan raya umum akan datang,
katanya.
Ditanya mengenai perancangan untuk Sarawak dalam lima tahun akan
datang, Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pelbagai projek
gergasi dan ikonik seperti Lebuhraya Pan Borneo, pembinaan jalan-jalan
di luar bandar, serta kemudahan internet akan diteruskan.
Sebelum itu, Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir
memberi sokongan kepada Adenan yang juga calon BN Tanjung Datu di Dewan
Masyarakat Lundu, di sini.
"Pertama saya amat gembira bahawa hari ini saya dapat menunaikan
undangan yang dibuat ketua menteri untuk bersama beliau pada hari
penamaan di Tanjung Datu.
"Pertama kali dalam sejarah perdana menteri dan pengerusi BN hadir pada
hari penamaan calon bagi menujukkan sokongan kuat dan padu kepada ketua
menteri Sarawak dan juga BN Sarawak pada keseluruhannya.
"Saya dapat mengesahkan apa yang dizahirkan ketua menteri bahawa BN
Sarawak berada dalam keadaan yang bersemangat tinggi dan semua
persediaan dilakukan dengan begitu kemas dan saya yakin dan percaya
Insyallah BN akan memperolehi kejayaan," katanya.
Sementara itu, Adenan berkata pertelingkahan antara DAP dan PKR
sehingga menyebabkan berlaku pertindihan di beberapa kerusi pada PRN
ke-11 ini menunjukkan mereka tidak mempunyai kesepakatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan