HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 April 2016

SELEPAS KEMELUT TERENGGANU, DEKLARASI RAKYAT SEMAKIN MENAKUTKAN NAJIB

shahbudondotcom


Tidak dipastikan dengan tepat berapa ramai yang sudah menantangani Deklarasi Rakyat, mungkin hanya antara 300 ribu hingga 400 ribu sekarang ini. Dikhabarkan ia  belum lagi mencecah kepada angka 500 ribu dan masih jauh daripada matlamat 1 juta tandatangan yang disasarkan.

Sama ada dapat mencapai sejumlah 1 juta tandatangan atau sebaliknya, yang pasti deklarasi itu tetap akan dihantar kepada Raja-Raja Melayu sebelum Majlis Raja-Raja bermesyuat yang dijadualkan pada 17 - 19 Mei nanti.

Bagaimana respon Majlis Raja-Raja terhadap sejuta tandatangan yang menolak Najib Razak itu masih sukar dijangka - berdiam diri, menolaknya, sekadar mengambil maklum atau akan bertindak seperti ketika penubuhan Malayan Union dahulu?

Sementara Najib tentunya mengharapkan deklarasi itu tidak memberi sebarang kesan kepada Majlis Raja-Raja, Tun Mahathir pula berulangkali menyebut mengenai sejarah bagaimana Malayan Union tidak menjadi kenyataan berikutan suara rakyat didengari oleh Raja-Raja yang akhirnya membawa rahmat berpanjangan kepada negara sehingga kini.

Apa pun tindakan dan keputusan Raja-Raja berkenaan Deklarasi Rakyat itu, sekurang-kurangnya Raja-Raja tahu bahawa rakyat tidak gembira dengan kepimpinan Najib, khususnya berkaitan 1MDB yang mula terdedah tembelangnya serta dana yang menurut media antarabangsa berjumlah RM4,200 juta keseluruhannya yang masuk ke dalam akaun peribadinya.

Di sinilah pentingnya deklarasi itu, bukan setakat 1 juta tandatangan, malah lebih baik jika dapat 2 juta, 3 juta atau lebih lagi yang menandatanganinya.
 
 
 
 
Meskipun demikian, Najib nampaknya sudah mula bimbang dengan kesan Deklarasi Rakyat itu sehinggakan ketika membentangkan Laporan Tahunan Transformasi Nasional malam tadi pun beliau mengambil kesempatan untuk mengatakan bahawa mengadakan sebarang deklarasi dan mengumpul referendum adalah salah di sisi undang-undang.

Dalam hal ini, bolehkah Najib menyebut di mana salah dan melanggar undang-undangnya deklarasi itu?

Lipatan sejarah telah memperlihatkan bahawa demokrasi dan menukar pemimpin bukan saja ketika pilihanraya atau pemilihan parti, malah kerap dilakukan di waktu-waktu yang lain selain itu.

Jika menjatuhkan pemimpin adalah salah dan melanggar undang-undang, mengapa ketika Tun Abdullah Badawi mahu dijatuhkan dahulu, tidak terbit sepatah kata menyanggah daripada mulut Najib?

Apakah menjatuhkan pemimpin hanya salah jika terkena kepada dirinya, tetapi berdiam diri atau dibenarkan kalau membawa keuntungan kepadanya?

Apa yang menyebabkan Najib tiba-tiba begitu bimbang dengan Deklarasi Rakyat dan menyifatkannya salah di sisi undang-undang?

Jika beliau seorang pemimpin yang betul, suci hati, amanah, tidak khianat dan tidak melakukan apa-apa kesalahan, apa yang perlu dibimbangkan dengan sebarang usaha mahu menjatuhkannya?

Bukankah selalu disebut bahawa kebenaran akan menang bila bertemu dengan kebatilan?

Kenapa begitu bimbang jika berada di pihak yang benar?

Apakah jauh di sudut hatinya, Najib sebenarnya berasa beliau di pihak yang salah?

Selain itu, apakah kebimbangan Najib  ada kaitan dengan tindakan Sultan Terengganu menarik balik semua gelaran daripada Ahmad Razif Abdul Rahman yang hampir pasti membuatkan Menteri Besar itu melepaskan jawatannya?

Tidakkah 1MDB berasal daripada TIA di Terengganu yang mana telaga minyak di negeri itu pernah cuba digadai sebelum ini? 

Tidak mustahilkah tindakan Sultan Terengganu itu bukan semata-mata kerana sebaris ayat dalam ucapan Ahmad Razif, tetapi turut melibatkan perkara-perkara lain sama?

Mungkinkah dengan kemelut yang tiba-tiba berlaku di Terengganu ini menimbulkan rasa bimbang Najib mengenai  masa depannya sendiri?


Tiada ulasan: