ARIF ATAN
Sidang media PKR hari ini yang sepatutnya menjawab isu pertindihan
kerusi PKR dengan DAP dilihat masih gagal menjawab kontroversi
menyelubungi Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak
ke-11, 7 Mei ini.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, partinya hanya mahu
terus melangkah maju dengan memberi fokus untuk menumbangkan BN di
negeri terbesar di Malaysia itu tanpa mahu digugat dengan isu
pertindihan kerusi dengan rakan gabungan dalam Pakatan Harapan.
Pengarah Pilihan Raya PKR itu dilihat yakin pertembungan kerusi
dengan DAP tidak akan menjejaskan hubungan mereka dalam Pakatan Harapan.
"Saya benar-benar gembira kerana kita terus berkongsi hubungan dengan
DAP. Kita memberi fokus pada calon bertanding yang menentang BN,"
katanya di ibu pejabat PKR, hari ini.
Penglibatan PKR dalam PRN Sarawak, tambahnya, bertitik tolak daripada
satu matlamat utama untuk menentukan hala reformasi di negeri itu.
"Kita cukup bertuah kerana diberi peluang untuk meletakkan asas bagi
reformasi dalam PRN 2011 lalu di Ba'Kelalan, Krian dan Batu Lintang,"
jelasnya lagi.
Enam kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang menjadi rebutan PKR dan
DAP itu adalah di N19 Mambong, N32 Simanggang dan N49 Ngamek termasuk
tiga kerusi baharu di N13 Batu Kitang, N66 Murum dan N78 Mulu.
Kelmarin, Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar bertegas untuk kekal bertanding di kesemua kerusi bertindih terbabit.
Calon PKR, Voon Shiak Ni bagi Dun Batu Kitang, ujarnya lagi, telah
bekerja sehingga 15 tahun dan lebih dikenali berbanding calon dari parti
lain.
Pada PRN yang membabitkan keseluruhan 82 Dun kali ini, PKR meletakkan
calon di 40 kerusi manakala DAP bertanding di 31 kerusi Dun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan