SOFI WAHAB
Barisan Nasional dan Pakatan Harapan atau blok ketiga sama sahaja.
Semuanya mementingkan diri. Itu antara luahan rakyat apabila menyaksikan
gelagat para politikus mempamerkan rentak tari mereka di Sarawak pada
proses penamaan calon semalam.
Bagi penyokong BN mereka kecewa kerana terdapat pemimpin BN yang
tidak terpilih menjadi calon tidak semena-mena bertanding menentang
calon BN sebagai calon bebas.
Ini sudah menjadi lumrah dalam politik Sarawak. Malah ramai di kalangan calon bebas pernah menang di Sarawak.
Lebih teruk lagi lima calon PKR dan satu calon DAP yang tidak
sepatutnya bertanding menyerahkan borang penamaan calon menentang rakan
sendiri.
Masing-masing menuding jari antara satu sama lain. Apa guna berbincang jika hasil perbincangan tidak dipatuhi. Matangkah kita?
Manakala Pas pula besar kepala langsung tidak mahu berpakat dengan
blok pembangkang lain bagi menghadapi BN secara satu lawan satu. Mungkin
mereka merasa kuat. Inikah yang dikatakan politik matang dan sejahtera?
Amanah pula nampaknya akur dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan
Harapan apabila meletakkan 13 calon seperti yang diputuskan sebelum itu.
Cuma mereka terpaksa berdepan dengan Pas di lima kerusi akibat tiadanya
persefahaman antara Pas dan Pakatan Harapan.
Ternyata Amanah tetap teguh dengan perjanjian dan keputusan Pakatan
Harapan tidak membantah dan jelas kematangan pimpinan dan ahlinya.
Kini rakyat semakin hari semakin muak dengan politikus yang
seolah-olah hanya mementingkan politik mereka bukannya masa hadapan
rakyat. Rakyat sememangnya sudah muak dengan BN kerana kesengsaraan dan
kepayahan hidup mereka.
Kepada Pakatan Harapan mereka ingin bergantung harapan tetapi tindak
tanduk para politikus khususnya dari PKR dan DAP mengguriskan hati
mereka.
Hendak diharapkan pada BN, harapan tinggal harapan. Hendak diharapkan
pada Pakatan Harapan, ujian pertama ini pun nampak tidak 'comel'.
Hendak bergantung harap pada Pas, kelihatan sukar kerana payah
sungguh hendak dibawa berbincang bersama pembangkang. Pas nampaknya
lebih suka berbincang dengan Umno. Entahlah...
Kami rakyat hampir putus harap dengan politikus sebegini.Kami sudah muak dengan BN tetapi kecewa dengan pembangkang.
Bila agaknya pembangkang akan matang. Atau di dalam pembangkang sendiri ada agen musuh yang durjana.
Kepada rakyat Sarawak berhati-hatilah mengundi. Kebobrokan yang
berlaku dalam negara sejak akhir-akhirnya ini yang mengakibatkan kita
sengsara dan sudah memerlukan kita mencari alternatif selain BN.
Walaupun pembangkang kelihatan tidak sekata namun pada saya mengundi BN mudaratnya lebih besar.
Kepada pembangkang satu pesanan saya, jangan sampai rakyat kecewa dan muak dengan kamu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan