Oleh Muhammad Asyraf Azlan
SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (PAN) mempersoalkan pendirian PAS yang
seolah-olah 'membuat pusingan U' apabila kini menyatakan bersedia untuk
Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam menangani kemelut politik di Terengganu.
Pengerusi PAN Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, bagi
menyelesaikan kemelut Menteri Besar, PAS sepatutnya bertindak lebih awal
iaitu semasa usul undi tidak percaya dahulu yang dibawa oleh Bekas
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
"Malangnya ada pihak tertentu menemplak cadangan saya supaya PRN di
adakan. Sebenarnya usul undi tidak percaya itu di benarkan mengikut
perlembagaan. Hari ini pihak yang sama mencadangkan pilihan raya negeri
juga diadakan.
"Situasi sekarang adalah diantara Istana dan Menteri Besar dan bukan
dari tindakan mana-mana ahli di dalam Dewan Undangan Negeri. Kerusi di
Dewan Negeri komposisi 17-15 masih berpihak kepada BN. Apa yang
berkemungkinan besar berlaku adalah pertukaran Menteri Besar yang juga
masih dari BN.
"Persoalan nya kenapa baru sekarang ketua pembangkang bersiap sedia
konon nya untuk menghadapi pilihanraya Negeri ? Adakah sekadar menumpang
di atas isu masalah pihak lain. Melainkan Umno Terengganu bergolak
hebat semula itu lah situasi semasa. Kita perlu objektif dalam isu ini
dan jangan emosi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, PAS Terengganu memilih menyerahkan mandat kepada rakyat
untuk membuat keputusan selepas berlaku krisis antara Sultan Terengganu
dengan Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat baru-baru ini berkata,
PAS tidak akan mencampuri urusan dalaman Umno tetapi berpendirian jalan
terbaik menyelesaikan krisis dengan mengadakan pilihan raya negeri.
Ini kerana, katanya, pelantikan Menteri Besar baharu menggantikan Ahmad
Razif tidak mampu menyelesaikan masalah kerana Barisan Nasional (BN)
tetap memerintah negeri itu.
Dalam pada itu, Kamarul menyelar PAS yang hanya berpeluk tubuh dan
sekadar menjadi pemerhati di dalam kemelut melanda Terengganu sehingga
menjadi parah kembali.
"Dari segi "serius" atau parahnya situasi, keadaan semasa undi tidak
percaya dahulu lagi parah kerana dari segi teorinya Datuk Ahmad Said
yang membawa usul tersebut telah berada di luar atau "terkeluar" dari
kerajaan kerana menentang parti.
"Jadi kedudukan kerusi secara teori menjadi 16-16 dan susah untuk
kerajaan berfungsi. Itulah sebabnya saya hairan kenapa ketua pembangkang
tidak terus mendesak untuk pilihan raya negeri di adakan.
Keadaan
bergelora tetapi mereka hanya berpeluk tubuh dan menjadi pemerhati dan
situasi telah berlalu menjadi kembali tenang sementara,"ujarnya.
Sebelum ini, PAS dilihat menjarakkan diri daripada krisis yang melanda Umno-BN Terengganu.
Kerajaan Umno BN di negeri itu sebelum ini hampir tumbang selepas Ahmad
yang juga ADUN Kijal mengusulkan undi tidak percaya terhadap Ahmad
Razif pada sidang DUN negeri itu awal Mac lalu.
Bagaimanapun, usul itu ditolak Speaker DUN, Datuk Mohd Zuber Embong.
PAS ketika itu digesa parti-parti pembangkang agar bertindak dan menggambilalih kerajaan negeri.
Namun, PAS enggan berbuat demikian dan bersikap berkecuali dalam isu itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan