Semua anggota polis di Sarawak diingatkan supaya tidak mengeluar atau memuat naik sebarang kenyataan di laman sosial kerana dibimbangi ia akan disalah erti sebagai menyokong atau melawan mana-mana parti politik.
Peringatan itu dibuat oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Dev Kumar, lapor Utusan Borneo Online hari ini.
Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas laporan polis oleh calon PKR Telang Usan, Roland Engan berhubung kenyataan yang dikeluarkan seorang anggota polis menerusi WhatsApp yang didakwa Roland sebagai memalukan dan mencemarkan imejnya.
Roland membuat laporan polis itu malam kelmarin, dan menurut Dev, polis telah membuka kertas soal siasat untuk mengetahui perkara sebenar yang berlaku di antara kedua-dua pihak terbabit.
Menurut Dev lagi, anggota polis juga harus mengelak daripada menyokong apa jua kenyataan yang dimuat naik dalam laman sosial terutama berkaitan isu politik tempatan atau berkongsi maklumat seumpama itu dalam akaun Facebook atau Twitter mereka.
Dalam pilihan raya negeri pada 7 Mei ini, Roland berdepan satu lawan satu dengan calon BN Dennis Ngau.
Sementara itu, Utusan Borneo Online juga melaporkan bahawa dua orang guru membuat laporan polis semalam selepas menerima surat amaran daripada Jabatan Pelajaran supaya tidak terlibat dalam kempen pembangkang.
Mereka berkata Francis Harden dari SUPP telah membuat surat aduan yang mendakwa mereka telah membantu pembangkang.
Guru-guru tersebut menafikan tuduhan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan