HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 April 2016

Ustaz ‘moden’ diperlukan di Malaysia, bukan Sarawak sahaja

 
Wan Ji berkata, agamawan perlu mempunyai sikap selagi ada pandangan yang mengatakan tidak haram, pandangan tersebut wajar dikemukakan sama.


juanda-wan-ji


PETALING JAYA : Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin berkata, ciri-ciri ustaz ‘moden’ yang disifatkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem pada bekas mufti dan calon BN, Dr Juanda Jaya diperlukan bukan sahaja di Sarawak, tetapi juga di Semenanjung tanah air.

Semalam, ketika ditanya FMT, Adenan berkata Juanda dipilih kerana beliau memiliki ciri-ciri ustaz yang dimahukan di Sarawak, iaitu seorang agamawan yang tidak berfikiran sempit, tidak berlagak alim, berpandangan luas, dan ‘liberal’.

Wan Ji bersetuju ciri-ciri yang disebut Adenan itu ciri-ciri yang penting dalam budaya beragama di negara seperti Malaysia, terutama dalam kerangka politik.

Bagaimanapun, Wan Ji menganggap terma ‘liberal’ yang digunakan Adenan sebagai kurang tepat, dan lebih gemar terma ‘keterbukaan’ dan tidak mudah hendak mengharamkan sesuatu perkara.

“Pada saya, tafsiran agama yang bersifat keterbukaan itu perlu di Malaysia sebenarnya,” katanya ketika dihubungi FMT.

“Berfikiran terbuka sebenarnya penting dalam budaya beragama di Malaysia bukan sahaja di Sarawak, bahkan Semenanjung.”

Mengulas lanjut, Wan Ji berkata, agamawan perlu mempunyai sikap selagi ada pandangan yang mengatakan tidak haram, pandangan tersebut wajar dikemukakan sama.

“Bukan semata-mata terikat dengan pendapat yang mudah mengatakan haram sahaja,” tegas Wan Ji.
Beliau akui kepada FMT bahawa beliau tidak arif dengan suasana di Sarawak dan cara masyarakatnya beragama.

Bagaimanapun, menurut Wan Ji, ciri-ciri yang disebut Adenan itu perlu untuk menerapkan budaya beragama yang bersendikan kebijaksanaan dan toleransi.

Memberi contoh, Wan Ji membidas sikap menghalang sebarang aliran pemikiran keagamaan, seperti menghalang aliran Syiah dan aliran Salafi.

“Kita perlu meletakkan kepercayaan bahawa rakyat Malaysia bijak,” jelas Wan Ji.

“Semua aliran perlu diberi ruang bersuara. Biarkan rakyat Malaysia memanfaatkan kebijaksanaan mereka untuk menilai perbezaan semua aliran pemikiran itu.”

Dalam pada itu, ketika ditanya pandangannya mengenai seorang calon bercirikan ustaz moden bertanding atas tiket BN, Wan Ji berkata:

“Saya secara peribadi tidak bersetujulah Dr Juanda bertanding atas tiket BN,” kata Ketua Biro Pemantapan Agama Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu.

“Beliau sewajarnya menggunakan saluran Pakatan Harapan, bukan Barisan Nasional untuk membawa pemikiran sebegitu.”

Tiada ulasan: