HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 April 2016

Arul Kanda nafi mengaku berlaku penipuan dalam 1MDB

ANTARAPOS.COM


Post Pic


KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menunjukkan seolah-olah berlaku penipuan tetapi sehingga kini tiada pengesahan jenayah itu wujud, demikian kata Arul Kanda Kandasamy, CEO firma pelaburan milik kerajaan itu.

Ketika menjelaskan kenyataan bahawa beliau mengesahkan 1MDB menjadi mangsa penipuan dalam kes AS$3.5 bilion (RM13.7 bilion) dibayar kepada firma British Virgin Islands, Arul Kanda menafikan pernah mengeluarkan kenyataan pengesahan itu.

“Apa yang saya katakan adalah, melihat kepada isi kenyataan 21 April 2016 dikeluarkan oleh Peguam Negara Switzerland 1MDB kini terdedah kepada kemungkinan berlakunya penipuan, iaitu ia (kemungkinan berlaku penipuan) tidak boleh diketepikan.

“Adalah amat malang pelbagai pihak bertindak melakukan ‘spin’ terhadap kata-kata saya bagi memperjuangkan agenda mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Awal bulan ini, penyiasat Swiss berkata mereka telah melebarkan siasatan rasuah terhadap 1MDB bagi membabitkan dua bekas pegawai dari Emiriah Arab Bersatu.

Arul hari ini juga berkata, AS$3.5 bilion dibayar kepada Aabar Investment PJS Ltd (Aabar BVI) yang dinafikan oleh International Petroleum Investment Co (IPIC) sebagai miliknya, adalah masalah bagi badan dana negara Abu Dhabi itu berbanding 1MDB.

Sebelum ini, IPIC berkata Aabar BVI yang namanya hampir sama dengan unit milik Aabar Investment PJS, bukan sebuah syarikat dalam kumpulannya. Ia juga berkata, tidak menerima  bayaran AS$3.5 bilion kepada Aabar BVI.

“IMDB berkeras berpendirian ia berurusan dengan pegawai kanan, maka urusniaga itu mengikat IPIC dengan Aabar PJS sebagai sekutu – iaitu secara jelasnya masalah berkenaan mereka yang perlu selesaikan.

“1MDB tidak akan lari dan bersedia untuk menyelesaikan masalah dengan IPIC melalui perbincangan dan jika perlu perbicaraan, bagi membolehkan penyelesaian adil lagi segera untuk mereka yang berkepentingan,” kata Arul Kanda.

Beliau menambah 1MDB akan terus memberi kerjasama kepada polis dalam siasatan mereka.

Tiada ulasan: