HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 April 2016

Kelahiran 1MDB tanpa restu

Adam A Kadir
Adam A Kadir
 

SEPANJANG minggu lepas, terdapat dua perkembangan yang sangat menarik. Pertama, laporan PAC (Jawatankuasa Kewangan Negara) terhadap 1MDB; kedua, konsep kesetiaan Datuk Seri Nazri Aziz, seorang Menteri. Walaupun umum sudah mengetahui bahawa PAC tidak mempunyai kuasa penguat kuasa atau kuasa eksekutif, namun hujahan dan kenyataannya tidak kurang menarik perhatian. PAC berleluasa disifatkan sebagai anjing rongak yang hanya menyalak. Ini amat mengharukan mereka yang menganggotai PAC. Beberapa kawan saya pernah menjadi Pengerusi PAC.

Walaupun begitu kedudukannya, namun soal sama ada laporan itu boleh diterima oleh rakyat keseluruhannya adalah satu perkara berlainan sama sekali. Oleh kerana Tun Dr Mahathir terbukti sekali begitu lantang dan kritis dalam perihal 1MDB, beliau telah menggunakan senjata sinisme dengan memohon maaf kerana kononnya tersilap tentang jumlah wang yang hilang dari 1MDB. “Saya silap kata RM40 bilion, tetapi yang sebenarnya ialah RM50 bilion seperti yang terdapat dalam laporan. Mungkin pula jumlah sebenarnya lebih daripada itu.”

Laporan itu meragukan struktur 1MDB. Di atas Lembaga Pengarahnya  terdapat Lembaga Penasihat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.  Ini membuka satu persoalan: sama ada Lembaga Penasihat itu memberi nasihat kepada Lembaga Pengarah atau pengurusan. Dari segi undang-undang, Lembaga Pengarah adalah peringkat tertinggi dalam mana-mana syarikat dan pihak pengurusan bertanggungjawab melaksanakan segala keputusannya. Meskipun begitu, terdapat hubungan informal dalam syarikat, iaitu sesuatu yang dibuat melalui keberkesanan peribadi.

Baik suka atau tidak, kehadiran Perdana Menteri dalam struktur itu adalah satu kehadiran besar yang dihayati oleh pengurusan dan anggota-anggota Lembaga Pengarah. Nasihat dari sebuah badan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri adalah satu nasihat yang tidak boleh dipandang ringan, apalagi jika nasihat itu datangnya langsung daripada beliau. Budaya korporat menuntut CEO agar memilih satu daripada dua pilihan apabila menghadapi nasihat begitu: akur atau berhenti. Tetapi realiti dalam membuat pilihan antara kedua itu bukanlah senang. Ia melibatkan periuk nasi.

Risiko daripada akibat pemilihan itu boleh membuatkan peluang untuk mendapat jawatan lain yang setaraf dalam pasaran tertutup ataupun amat terbatas, kalaupun ada.

Saya pernah menjadi pengerusi beberapa buah firma, baik berbentuk persendirian ataupun awam. Satu pengalaman yang berakhir dengan kepahitan di lidah berlaku kepada saya ketika menjadi pengerusi sebuah firma awam. Saya dipanggil dan diberi arahan menahan satu kontraktor dari disingkirkan walaupun Lembaga Pengarah telah memutuskan penyingkirannya. Disebabkan kedudukan orang yang mengarahkan saya itu amat tinggi, saya dengan menggunakan taktik tertentu membatalkan keputusan itu. Akibatnya CEO firma itu berhenti. Ini menimbulkan suasana runcing antara CEO firma induk dengan saya. Kesan akibatnya sudah menjadi sejarah. Pihak yang mengarahkan saya itu hanya melepaskan tangan saja, bagaikan tidak ada apa-apa.

Kini, melihat kepada berita muka hadapan kelmarin (Jumaat), saya bimbang kalau-kalau Datuk Shahrul Azral Ibrahim Halmi, mantan CEO 1MDB, terpaksa memikul tanggungjawab memberikan jawapan kepada semua persoalan yang menjadi masalah 1MDB selama ini. Sebaliknya Tun Dr Mahathir menyalahkan Datuk Seri Najib. “Dia tubuhkan 1MDB. Tidak ada apa yang boleh berlaku dalam 1MDB tanpa persetujuan Najib,” tegas Tun Dr M. “Saya simpati dengan Datuk Shahrul.”

Amat menarik sekali analisis Nazri Aziz tentang konsep kesetiaan. Katanya, beliau setia kepada Umno, justeru beliau mesti mempertahankan Presiden Umno, DS Najib. Ini mengingatkan saya kepada sifat kesetiaan Hang Tuah. Setelah merampas Tun Teja, tunang orang, beliau pun terus berkorban menyerahkan Teja kepada Raja. Tuah terus bersetia kepada Raja sehingga mengorbankan sahabat setianya, Hang Jebat.
Apa yang tidak dituliskan dalam legenda keperwiraan itu ialah sama ada ‘ada’ atau ‘tiada’ nasihat yang baik yang dipersembahkan, walaupun ia pahit didengar. Namun begitu, tidak berapa lama selepas tragedi Tun Teja dan Hang Jebat itu, Melaka jatuh kepada Portugis pada tahun 1511. Besar kemungkinan Portugis terkandas sekiranya nasihat yang baik tentang pertahanan, kehidupan, kesaksamaan, penjanaan ekonomi dan maritim dikemukakan secara jujur, tanpa takut dan bimbang kepada risiko kehilangan jawatan. Yang penting ialah kelangsungan Melaka. Nyata sekali, segalanya itu tidak berlaku. Ketiadaan Sultan begitu lama hanya membuka peluang untuk pihak tertentu berpura-pura menuntut singgahsana. Yang lain-lainnya sudah menjadi sejarah.     
          
* Tan Sri Adam Kadir ialah mantan Presiden Senat dan Ahli Kabinet


Tiada ulasan: