Menteri Besar Selangor dipanggil polis bagi memberi
kenyataan berhubung papan tanda #BebasAnwar yang dinaikkan di 20 lokasi
di negeri itu.
PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung papan iklan #BebasAnwar yang dinaikkan di pelbagai lokasi di negeri itu.
Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, polis hanya membuang masa dengan melakukan siasatan itu kerana berpendirian tindakan menaikkan papan iklan itu tidak salah.
“Saya merasa amat kesal dan kecewa dengan tindakan polis untuk tergesa-gesa, menjalankan siasatan terhada saya atas satu pertuduhan yang tidak berasas sama sekali.
“Mereka gunakan Akta Hasutan untuk menekan saya dan pimpinan parti pembangkang di atas suatu perkara yang tidak boleh dikenalpasti apakah kesalahan sebenarnya,” katanya kepada pemberita di hadapan Balai Polis Petaling Jaya di sini.
Azmin juga mendakwa terdapat pihak luar yang meminta beliau disiasat berhubung papan iklan bebas Anwar itu.
Katanya, perkara itu dimaklumkan oleh polis sendiri kepadanya ketika diambil keterangan di sini. Bagaimanapun, menurut Azmin, polis tidak mendedahkan siapa pihak terbabit itu.
“Setelah diminta oleh peguam untuk memberikan penjelasan sebelum siasatan dilakukan, akhirnya mereka mengakui ada arahan yang diterima untuk siasatan yang dilakukan semata-mata kerana ada istilah tahanan politik pada papan iklan tersebut.
“Ini satu pembaziran wang rakyat dan masa. Sepatutnya pihak polis menumpukan sepenuh tenaga dan kepakaran menangani masalah jenayah,” katanya lagi.
Peguam Azmin, Latheefa Koya sebelum ini berkata, Azmin akan disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.
Bulan lalu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa tempatan di Selangor kerana memberi kelulusan untuk papan iklan itu.
Jamal mendakwa papan iklan itu “mengelirukan” kerana mengisytiharkan Anwar Ibrahim sebagai “tahanan politik”, sedangkan bekas pemimpin pembangkang itu telah disabitkan bersalah kerana melakukan jenayah.
Agensi berita Bernama bulan lalu turut melaporkan, kerajaan Selangor menunggu surat rasmi daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum mengambil tindakan lanjut untuk menurunkan papan iklan itu.
Azmin merujuk status Khalid di Twitter yang menggesa pihak berkuasa tempatan di Selangor menurunkan papan iklan itu, kerana ia boleh dianggap tindakan menghasut.
Menurut Azmin, mereka tidak boleh bertindak berdasarkan kenyataan yang dibuat di Twitter.
Buat masa ini, papan iklan #BebasAnwar ditempatkan di 20 lokasi di Selangor, termasuk Subang dan Rawang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan