HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 April 2016

1,200 AES didik pemandu patuh peraturan lalu lintas

 
AES bukanlah 'perangkap' seperti yang dianggap oleh sesetengah orang malah kewujudannya mudah dilihat selain terdapat papan tanda yang mencukupi untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya.


Lee-Lam-Thye_aes_2600


PETALING JAYA: Pemasangan 1,200 kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di lebuh raya di seluruh negara adalah untuk mendidik pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan lalu lintas.

Ini kerana kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalanraya Malaysia (MIROS) pada 2014 menunjukkan pemasangan 14 kamera AES di Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkesan mengurangkan kemalangan maut akibat pemanduan laju dan salah laku pelanggaran lampu merah.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye menambah, terdapat pengurangan sebanyak 87.6 peratus kes pelanggaran lampu merah selepas kamera dipasang di beberapa persimpangan lampu isyarat tertentu di Jalan Ipoh-Kuala Kangsar dan Jalan Pasir Puteh di Perak, serta Jalan Klang Lama dan Jalan Ipoh di Kuala Lumpur.

“Lazimnya, apabila pemandu memasuki zon kamera, mereka cenderung memperlahankan kenderaan dan memandu laju semula apabila melepasi zon tersebut.

“Tetapi mereka tidak akan dapat berbuat demikian selepas lebih banyak kamera dipasang kelak.

“Sudah tentu, tiada apa-apa yang menghalang mereka daripada memandu laju setelah melepasi zon
kemera (di lebuh raya) tetapi sekurang-kurangnya, mereka sedar bahawa mereka tidak boleh memandu laju secara berterusan di sepanjang laluan berkenaan. Ia adalah satu cara untuk mengurangkan kemalangan jalan raya di negara kita,” katanya, lapor Bernama.

Menurut Lam Thye lagi, AES bukanlah ‘perangkap’ seperti yang dianggap oleh sesetengah orang malah kewujudannya mudah dilihat selain terdapat papan tanda yang mencukupi untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya.

Statistik Miros menunjukkan, sejumlah 489,606 kemalangan jalan raya berlaku pada tahun lalu, berbanding 476,196 pada 2014. Kemalangan tahun lepas mengakibatkan 6,706 kematian, iaitu purata kira-kira 18 kematian akibat kemalangan jalan raya setiap hari.

Berikutan beberapa laporan yang menunjukkan Malaysia sebagai antara negara yang mencatatkan jumlah kemalangan jalan raya paling tinggi di dunia, maka Lam Thye merasakan sudah tiba masanya untuk melaksana langkah-langkah berkesan.

“Pemasangan AES bukan bertujuan untuk menghukum, sebaliknya sebagai usaha pencegahan terhadap peningkatan bilangan kemalangan di negara ini,” kata beliau.

AES ialah sistem perakam kesalahan jalan raya yang dipraktis di beberapa negara maju di Eropah, Australia dan Amerika Syarikat dan berkembang kepada lebih 90 buah negara sejak 1970an.

Walaupun pernah timbul persoalan mengenai keberkesanan AES, tetapi Lam Thye akui kini ia telah terbukti berkesan.

“Jadi, saya berpendapat orang ramai perlu faham bahawa kamera-kamera tersebut adalah penting untuk kebaikan dan keselamatan mereka sendiri.”



Tiada ulasan: