HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 April 2016

Kucar-kacir Sarawak jika pembangkang memerintah - Najib

MALAYSIAKINI




Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak hari ini memberi amaran bahawa kucar-kacir akan melanda negara ini sekiranya pembangkang dibenarkan memerintah.

Beliau berkata, jika mereka tidak dapat mencapai kata sepakat mengenai pembahagian kerusi untuk bertanding pada pilihan raya Sarawak 7 Mei ini, apatah lagi untuk memimpin negeri atau negara.

"Ini belum lagi mengambil kira untuk membentuk kabinet, atau memutuskan siapa layak memimpin jawatan apa. Kucar-kacir negeri Sarawak nanti!" katanya menerusi catatan terbaru di blog.

Perdana Menteri juga mendakwa beberapa ahli politik pembangkang berterusan menabur fitnah jahat dan menyerang keperibadian seseorang semata-mata kerana parti yang diwakili.

Katanya, politik berteraskan fitnah dan mengadu domba seumpama itu memang telah sebati dengan mereka, dan langsung tidak mempunyai tempat di dalam mana-mana pilihan raya.

"Saya yakin rakyat Sarawak dapat melihat dengan jelas sandiwara dan topeng sewajarnya apabila membuang undi.

"Usahlah terpedaya, kita kekalkan kemajuan dan kesejahteraan Bumi Kenyalang, terus sejahtera dan membangun pesat bersama gelombang biru Barisan Nasional!," katanya.

Pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11, DAP dan PKR yang adalah sekutu dalam Pakatan Harapan bakal bertembung di enam kerusi dengan masing-masing saling mempersalahkan satu sama lain berhubung kemelut ini.

Pelancaran manifesto

Sementara itu, Bernama melaporkan Pengerusi BN Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata pihaknya akan berusaha keras untuk mentransformasikan negeri dan rakyat Sarawak terutama di luar bandar agar mereka dapat meningkatkan taraf hidup masing-masing.

Menurutnya, parti itu akan sentiasa berusaha bagi memastikan infrastruktur asas, utiliti dan kemudahan awam bertambah baik di seluruh negeri ini.

"Tidak kira di mana rakyat tinggal, mereka akan memperoleh standard kehidupan dan kualiti hidup yang lebih baik. Saya mempunyai perancangan untuk mengubah Sarawak menjadi negeri maju yang akan membawa kita ke tahap lebih tinggi dan masa depan lebih cerah, katanya.

Beliau berkata demikian dalam kata-kata aluan Manifesto BN Sarawak 2016 bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11).

Manifesto bertemakan 'Beri Peluang Kepada TeamAdenan #theAdenanWay' itu dilancarkan Adenan di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di Kuching, hari ini, bagi menghadapi PRN-11 pada 7 Mei.

Adenan, yang juga Presiden PBB, berkata bagi menjamin keamanan dan kemakmuran Sarawak, kerajaan BN akan terus mengekalkan perpaduan kerana sedar bahawa tanpa keupayaan untuk bekerjasama, mereka tidak akan dapat mencapai matlamat.

Peluang pendidikan

Beliau berkata dengan perpaduan sebagai asas dan kekuatan mereka, kerajaan BN akan mewujudkan lebih banyak peluang untuk rakyat Sarawak.

"Kita akan berusaha menjana lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan sehingga 2030 dan seterusnya, melalui pelan pembangunan, strategi dan inisiatif yang terbukti berkesan.

"Kita akan mewujudkan lebih banyak peluang pendidikan untuk anak-anak muda bagi melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan agar menjadi sebahagian daripada masa depan Sarawak yang lebih cerah," katanya.

Selain itu, Adenan berkata BN juga akan terus mempertahankan hak-hak negeri Sarawak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.

"Kekuatan kami adalah perpaduan. Kami lebih kuat sebagai Sarawak yang bersatu padu. Malaysia lebih kuat dengan Sarawak yang bersatu padu.

"TeamAdenan dibentuk bagi mencapai cita-cita kami. Pasukan saya akan sentiasa bekerja keras untuk rakyat Sarawak supaya mereka terus menikmati keamanan, kemajuan dan kemakmuran," katanya.

Tiada ulasan: