HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 April 2016

'Saya reda darjah kebesaran dilucut'

Ahmad Razif angkat sumpah, sah MB Terengganu


KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman reda dengan apa yang berlaku terhadap dirinya dan bertekad untuk terus membuktikan taat setianya kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Beliau juga menjadikan kepentingan rakyat Terengganu sebagai keutamaannya selagi menjawat jawatan menteri besar.

"Saya sebagai rakyat Negeri Terengganu dan menteri besar reda dengan apa yang sedang berlaku dan saya bertekad untuk terus membuktikan taat setia saya kepada Tuanku Sultan dan kepentingan rakyat  Terengganu akan terus menjadi keutamaan selagi saya masih memegang jawatan," katanya menerusi satu kenyataan media.

Beliau berkata demikian selepas pihak Istana Terengganu melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepadanya berkuat kuasa Jumaat lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sultan lucut semua darjah kebesaran MB Terengganu]

Ahmad Razif juga pasrah dengan apa yang berlaku dan amat memahami bahawa ia adalah hak mutlak Sultan Terengganu di dalam mengurniakan anugerah atau penarikan balik anugerah tersebut.

"Apa yang penting kita mesti mengambil iktibar dengan apa yang berlaku sebagai rakyat, pemimpin yang taat dan setia kepada raja dan negara," katanya.

Pada April 2015 lalu, Ahmad Razif mengetuai senarai pengurniaan bintang dan darjah kebesaran negeri sempena sambutan Ulang Tahun ke-53 Hari Keputeraan Sultan Terengganu.

[ARTIKEL BERKAITAN: MB Terengganu ketuai senarai penerima]

Dalam istiadat berlangsung di Singgahsana Istana Syarqiyyah itu, Ahmad Razif terima bintang Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (SSMZ) yang bergelar Datuk Seri.


Tiada ulasan: