HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 April 2016

1,232 kes penemuan ular di Terengganu


 
 
Rata-rata kes penemuan ular itu tertumpu di kawasan kediaman, di mana jumlah tersebut meningkat setiap bulan.


JPAM


KUALA TERENGGANU: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Terengganu merekodkan 1,232 kes penemuan ular oleh penduduk sehingga bulan lalu.

Timbalan Pengarah Operasinya, Amirsarifudin Zalman berkata, rata-rata kes tertumpu di kawasan kediaman, malah jumlah tersebut meningkat setiap bulan.

Ia berikutan keadaan cuaca yang panas ketika ini, menyebabkan reptilia itu mencari kawasan kediaman untuk berlindung.

“Berdasarkan jumlah laporan yang kita rekodkan sehingga Mac 2016, sebanyak 1,232 kes melibatkan kawasan kediaman, rumah, sekolah dan rumah kedai.

“Kebanyakan ular yang masuk ke kawasan kediaman juga disebabkan cuaca panas melampau dan jumlah tersebut semakin meningkat setiap bulan. Malah, pada musim panas sebegini juga merupakan musim untuk reptilia itu mengawan,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Amirsarifudin berkata, sehingga kini, belum ada kes melibatkan mangsa patukan ular di Terengganu seperti yang berlaku di negeri lain.

Sebagai langkah berjaga-jaga, beliau mengingatkan ibu bapa supaya tidak membiarkan anak-anak mereka bermain di kawasan lembab, kerana bimbang diancam reptilia itu.

Pada 19 April lalu, seorang kanak-kanak perempuan, Nuri Nadirah Ruslan, 7, maut dipercayai dipatuk seekor ular di betis kirinya di perkarangan Sekolah Kebangsaan Dato Hashim 1, Pengkalan Chepa di Kelantan.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dilaporkan sebagai berkata, sekurang-kurangnya 730 kes patukan ular direkodkan di seluruh negara sejak 1 Januari lalu sehingga kelmarin, termasuk satu kematian di Kelantan.

Kedah mempunyai kes patukan ular tertinggi, iaitu 195 kes, diikuti Perak (107 kes) dan Selangor (78 kes)

Tiada ulasan: