Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui berminat dengan sukan berkuda dan mendedahkan bahawa dirinya memiliki hampir 40 ekor kuda yang dihadiahkan kepadanya.
Dalam temu bual dengan CNN Indonesia, seperti yang dijangka, Mahathir tidak melepaskan peluang membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwanya sebagai penghalang kepada kemajuan Malaysia.
Disoal mengenai aktiviti masa lapangnya, Mahathir yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun, berkata beliau tidak mempunyai masa untuk hobi atau sukan.
Walau bagaimanapun, bekas perdana menteri itu berkata beliau kadang-kadang menunggang kuda pada masa lapang.
“Saya banyak kuda, ada dekat 40 ekor kuda. Ramai yang beri kuda pada saya, bukan saya beli.
“Saya nak beli dua ekor kuda dari Pakistan (dahulu). Bila Presiden Zia Ul Haq (ketika itu) dengar saya nak beli kuda, dia bagi dua-dua, saya tak payah beli,” katanya.
Ditanya wartawan CNN itu sama ada Najib patut berundur, Dr Mahathir mendakwa bahawa masa depan Malaysia akan amat buruk dan pertumbuhan negara akan terjejas jika perdana menteri tidak berbuat demikian.
Beliau berkata, keadaan akan menjadi lebih baik jika orang lain menerajui negara ini.
“Kita ingin menjadi negara maju menjelang tahun 2020, mungkin lewat sikit kerana sekarang tiada usaha secara langsung untuk memajukan negara.
“Negara terlibat dengan macam-macam masalah. Tapi kalau sudah tidak ada masalah ini, Najib tidak memimpin, dan orang lain yang memimpin, besar kemungkinan dapat dilaksanakan pelan-pelan yang dibuat dulu, terutama Wawasan 2020.
“Saya fikir negara ini masih mampu dimajukan,” katanya merujuk kepada idea yang diilhamkannya itu semasa menjadi perdana menteri.
Penyokong Najib, di sisi lain pula menuduh bekas mentor yang kini menjadi musuh perdana menteri cuba untuk menjatuhkan pentadbiran sekarang kerana mahukan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengambil alih.
Menjawab soalan lain mengenai cita-citanya untuk menjadi perdana menteri, Dr Mahathir berkata semasa kecil, beliau tidak menyimpan impian seperti itu kerana semasa pemerintahan British penyertaan dalam politik tidak dibenarkan.
“Masa kecil saya nak majukan diri dengan mendapat pelajaran di peringkat sekolah, selepas tu mungkin bekerja dengan kerajaan.
“Pada masa itu tiada siapa mempunyai cita-cita besar dalam bidang politik kerana tidak ada politik,” katanya.
Dalam temu bual itu, Mahathir juga bercakap mengenai kedua-dua ibu bapanya sambil mendedahkan bagaimana bapanya memiliki semangat supaya anak-anak mendapat pendidikan.
“Bapa saya adalah satu orang yang menghargai pelajaran. Dia di zaman British sanggup lari ke sekolah, bukan lari dari sekolah, kerana ibu bapa dia tak benar dia ke sekolah Inggeris takut dia akan jadi Kristian.
“Tapi dia sembunyi dan pergi ke sekolah kerana dia anggap pelajaran itu penting. Jadi didikan yang saya terima menekankan penguasaan ilmu,” katanya.
Bagi ibunya, Mahathir berkata beliau mendidiknya mengenai agama dan nilai-nilai hidup yang baik.
“Ibu mengajar saya tentang agama, tentang nilai-nilai hidup yang baik, apa yang saya boleh buat, apa yang tidak dibenarkan, apa yang halal, apa yang haram, itu datang daripada ibu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan