Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali hari ini disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 berhubung papan iklan #BebasAnwar yang dipasang di beberapa lokasi di negeri itu.
Timbalan presiden PKR itu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira jam 4.10 petang dan memberi keterangan selama hampir satu setengah jam.
Ketika ditemui di luar IPD tersebut, Azmin meluahkan rasa kesal terhadap siasatan itu yang disifatkan sebagai pembaziran masa dan wang rakyat.
"Saya merasa amat kesal dan kecewa dengan tindakan polis untuk tergesa-gesa, menjalankan siasatan terhadap saya atas satu pertuduhan yang tidak berasas sama sekali.
"Mereka gunakan akta hasutan untuk menekan saya dan pimpinan parti pembangkang di atas suatu perkara yang tidak boleh dikenalpasti apakah kesalahan sebenarnya," kata ahli Parlimen Gombak itu.
Beliau juga mendakwa siasatan itu disebabkan arahan pihak tertentu berikutan terdapat perkataan 'tahanan politik' pada papan iklan terbabit.
Katanya lagi, pihak polis sepatutnya menumpukan sepenuh tenaga bagi menangani jenayah dan bukan melakukan siasatan yang tidak jelas kesalahannya.
'Ini satu perkara yang amat mengecewakan," katanya.
Sebelum ini papan iklan #BebasAnwar yang menuntut pembebasan Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara dipasang di beberapa lokasi di Selangor.
Antaranya Ampang, Subang Jaya dan Klang.
Berikutan itu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan papan tanda itu diturunkan kerana berunsur hasutan.
Papan iklan itu turut menerima bantahan daripada sekumpulan individu diketuai pemimpin bahagian Umno Datuk Jamal Md Yunos yang turut mengugut untuk membakarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan