HALAMAN SANTAI
Khamis, 28 April 2016
Sekolah pedalaman Serian amat daif, calon DAP N23 Bukit Semuja tawar suara perubahan
Oleh Hafiz Zainuddin
SERIAN: Anak-anak di pedalaman Sarawak yang bersekolah di bangunan berdinding kayu serta daif serba-serbi sentiasa tertekan untuk cemerlang dalam pelajaran seperti pelajar-pelajar lain di sekolah yang jauh lebih baik keadaannya.
Begitulah realiti yang di Serian, kawasan yang julung kali ditandingi DAP bagi DUN N23 Bukit Semuja melalui calonnya Edward Luwak, 64, seorang bekas majistret yang turut berpengalaman dalam sektor swasta.
Bagi beliau, sikap pejam mata kerajaan terhadap pembangunan pendidikan anak-anak luar bandar amat menyedihkan dan memerlukan perubahan drastik demi memastikan masa depan mereka terjamin.
“Sekolah di pedalaman amat ketinggalan, kita berharap mereka boleh cemerlang dalam pelajaran. Tapi bagaimana kita boleh harapkan begitu sedangkan kemudahan kepada mereka tidak sempurna, mereka tak ada bangunan yang baik, mereka tak ada bilik darjah yang baik, tidak mempunyai buku teks yang mencukupi. Ini bukan caranya,” katanya kepada Roketkini.
Menurut Pengerusi DAP Serian itu, masih banyak sekolah di kawasan ini yang masih menggunakan bangunan kayu dan belum dinaiktaraf kepada bangunan baru.
“Kita tengok sekolah-sekolah kita di sini, bangunan masih kayu, aircond tiada, ada sekolah yang dinding pun tiada dan murid-murid pula tidak pergi sekolah,” katanya.
Sepanjang penglibatannya bersama DAP, selain isu kemudahan pendidikan, Edward melihat masih banyak kawasan dalam daerah ini yang kekurangan kemudahan lain seperti kemudahan air terawat walaupun telah berkali-kali dijanjikan BN.
“Anda lihat saja sekolah. Anda jalan 500 meter dari sini (pasar) ada Sekolah St. Teresa, masih kayu.
Jalan-jalan masih kecil, laluan jalan masuk ke kampung masih sempit. Begitu juga dengan kemudahan asas seperti air, masih tiada,” katanya.
Edward memiliki ijazah sarjana muda dalam Sains Pengurusan Pentadbiran pada 1989 dan memperoleh sarjana dalam Pengurusan Perniagaan pada tahun 2003. Setelah bersara dari perkhidmatan awam, Edward Luwak berkhidmat dengan beberapa syarikat swasta dan pernah memegang jawatan kanan dalam Shell Malaysia.
DUN Bukit Semuja merupakan salah satu dari 11 kawasan DUN baru Sarawak yang merupakan pecahan dari DUN Tebedu dan Kedup di bawah Parlimen Serian.
Kerusi ini bakal melihat pertembungan lima penjuru, iaitu DAP, calon langsung mewakili BN, calon Parti Reformasi Negeri (STAR), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru) dan calon bebas.
N23 Bukit Semuja memiliki 13,365 pengundi berdaftar dengan majoriti pengundi kaum Bidayuh sebanyak 47.8 peratus, Melayu dan Melanau 17.2 peratus, pengundi Cina 12.6 peratus, kaum Iban 12.6 peratus dan 0.7 peratus bagi lain-lain kaum. – Roketkini.com
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan