HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 April 2016

Setiausaha PM: WSJ kuda tunggangan kempen Mahathir

MALAYSIAKINI




Pelantikan Datuk Muhammad Ibrahim sebagai gabenor baru Bank Negara membuktikan “pembohongan” akhbar kewangan antarabangsa The Wall Street Journal (WSJ), kata setiausaha akhbar perdana menteri.

Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad berkata hari ini terbukti Muhammad dipilih walaupun laporan WSJ sebelum ini menyebut Tan Sri Irwan Serigar Abdullah, yang dikaitkan dengan 1MDB.

“Malangnya, ramai percaya pada laporan WSJ berkaitan Malaysia, kerana mereka tidak sedar bahawa WSJ membiarkan mereka diperguna sebagai kuda tunggangan kempen anti-Najib Tun Mahathir Mohamed, semata-mata demi mendapatkan tajuk sensasi,” katanya.

Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan pelantikan Muhammad berkuat kuasa 1 Mei setelah diperkenal oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini, terdapat spekulasi Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar akan mengisi jawatan itu.

Spekulasi berkaitan Irwan sebelum ini dikaitkan dengan isu berkaitan syarikat pelaburan negara sarat hutang 1MDB.

Dalam kenyataannya hari ini, Tengku Sariffuddin mengingatkan bahawa tugas paling asas setiap wartawan adalah memeriksa fakta, terutamanya jika melibatkan dakwaan serius musuh politik lawan.

“Tetapi WSJ terus melaporkan pembohongan sumber-sumber tanpa menyatakan namanya sebagai fakta.

“Mereka ini keaiban buat kewartawanan. Sebagaimana dibuktikan lagi hari ini, rakyat Malaysia tidak boleh percaya apa sahaya yang mereka sebut,” katanya.


Tiada ulasan: