HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 April 2016

PTPTN diharap pertimbangkan cadangan lain


ptptn

 
KUALA TERENGGANU – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dicadang melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik daripada enam bulan kepada satu tempoh yang lebih panjang.

Pengerusi Biro Pengajian Tinggi dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Umno Bahagian Kuala Terengganu, Armi Irzan Mohd berharap supaya ia dipertimbangkan berdasarkan kepada keadaan semasa dalam negara.

Menurutnya, dalam keadaan ekonomi negara tidak menentu, ia turut memberi kesan terhadap graduan lepasan universiti untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

“Kita harap tempoh enam bulan itu dipanjangkan lagi sehingga kedudukan kewangan para peminjam lebih stabil,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan mengenai seramai 1.25 juta peminjam PTPTN dimasukkan ke dalam senarai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS).

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, tindakan itu dilakukan berikutan peminjam yang terlibat gagal membuat pembayaran balik pinjaman seperti yang ditetapkan.

Menurutnya, tindakan CCRIS dilakukan selepas mendapat nasihat daripada jemaah menteri, Bank Negara dan Majlis Jawatankuasa Fizikal Ekonomi.

Armi Irzan yang juga Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu berkata, tindakan kebanyakan peminjam yang tidak membayar pinjaman bukan disebabkan mereka memandang ringan kewajipan tersebut, sebaliknya ramai yang tidak mampu mendapat pekerjaan setara dengan kelulusan dimiliki.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa melewatkan pembayaran berdasarkan tempoh yang ditetapkan PTPTN.

Lebih-lebih lagi katanya, seseorang yang bekerja juga turut memerlukan kenderaan untuk memudahkan pergerakan ke tempat kerja atau urusan yang ditentukan majikan.

“Apabila mereka dapat kerja, mereka memerlukan kenderaan sedangkan kerja itu tidak padan dengan kelulusan menyebabkan gaji diperoleh diperuntukkan untuk membayar ansuran kenderaan di samping kemudahan asas yang lain,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak bahawa peminjam PTPTN perlu akur dengan sistem pembayaran balik sebagaimana yang ditandatangani dalam perjanjian.

Katanya, keadaan itu tidak memberi sebarang pengecualian kepada peminjamnya melainkan mereka yang mendapat keputusan kelas pertama yang membolehkan status pinjaman ditukar kepada biasiswa.

“Peminjam kena akur kerana kita tiada pilihan tetapi pilihan itu ada pada PTPTN,” katanya.


Tiada ulasan: