Roketkini.com
SRI AMAN: Tiada siapa yang mempertikaikan bahawa Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem akan tetap kekal menjadi Ketua Menteri selepas hari mengundi pilihanraya Sarawak pada 7 Mei ini.
Yang diperlukan ialah undi rakyat Sarawak untuk membawa lebih banyak suara pembangkang ke Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk memastikan pentadbiran yang membantu rakyat, dan bukannya menjaga kepentingan pemimpin.
Sehubungan itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, menjelaskan bahawa hujah-hujah tukang kempen serta calon-calon Barisan Nasional yang cuba menakutkan pengundi Sarawak adalah tidak bijak serta mendedahkan betapa kurang cerdiknya mereka.
Katanya, ini terbukti dengan hujah Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang, kononnya jika rakyat Sarawak mengundi pembangkang, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen atau Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, akan menjadi Ketua Menteri yang baru.
“Mungkin Ketua Pemuda Gerakan, yang memang sah seorang ketua bebal politik di kalangan pemimpin dan ahli Barisan Nasional, merupakan satu-satunya manusia di negara ini yang percaya dengan kata-kata sampah itu, tetapi saya juga terfikir sama ada Tan Sri Adenan pun terpengaruh juga dengan kata-kata ini.
“Adenan bercakap seolah-olah beliau mungkin tidak lagi menjadi Ketua Menteri selepas 7 Mei ini.
Sepatutnya Adenan lebih yakin terhadap dirinya kerana saya secara jujur telah katakan bahawa kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri pada 7 Mei ini sudah terjamin dan tidak tergugat,” katanya dalam satu ceramah di Kampong Tin-Tingkak di Simanggang dekat sini tengah hari ini.
Berhubung isu 1MDB, Kit Siang terkejut dengan kenyataan Adenan bahawa skandal mega tersebut tidak ada kena-mengena dengan Sarawak, seolah-olah ia tidak perlu dipedulikan oleh pengundi sedangkan ia akan menjejaskan hidup setiap rakyat Malaysia.
“Adakah kita akan terima dan percaya bahawa skandal mega berkembar hutang RM50 bilion 1MDB dan ‘derma” RM4.2 billion hanya dipedulikan oleh orang Amerika, Switzerland, Britain, Australia, Singapura atau UAE tetapi bukan hal yang perlu dipedulikan oleh rakyat Sarawak dan Malaysia?
“Biarlah pengundi Sarawak menentukan pada 7 Mei ini sama ada mereka bersetuju dengan Adenan atau tidak,” tambah beliau.
Lebih mengejutkan, kata Kit Siang, ialah kenyataan calon BN untuk kerusi Dudong, Tiong Thai King, yang menyalahkan pembangkang dalam skandal 1MDB.
Katanya, Tiong yang pernah menjadi Ahli Parlimen BN sepanjang 2009 – 2013 membuat kenyataan bodoh apabila mengatakan pembangkang gagal memantau kerajaan BN apabila skandal tersebut sedang berlaku.
“Adakah Tiong juga mengaku beliau bertanggungjawab terhadap skandal global 1MDB kerana beliau adalah Ahli Parlimen Lanang sepanjang 20009 – 2103 di mana berlakunya skandal tersebut?
“Jika Tiong tidak berani serta tidak pernah sekali pun bertanya Najib Razak tentang skandal 1MDB walaupun di Parlimen atau apabila Perdana Menteri telah melawat Sarawak lebih 50 kali, adakah Tiong akan menjadi tukang angguk (yes-man) dalam DUN Sarawak jika terpilih nanti?” katanya. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan