HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 April 2016

Ayam 'stres', tauke rugi RM1 juta






DETK DAILY


KUALA NERANG: Cuaca panas berpanjangan akibat fenomena El Nino menyaksikan ramai penggiat di dalam industri penternakan ayam daging di Kedah terpaksa menanggung kerugian besar.

Tauke-tauke ayam kebanyakannya bergelut untuk meminimumkan kadar kematian ayam ternakan akibat faktor suhu yang panas.

Berdasarkan tinjauan Astro AWANI di ladang ternakan ayam milik Kumpulan Bismi, kadar kematian haiwan tersebut meningkat sehingga lapan peratus.

Pengurus Kanan Operasinya, Mohd Gary Gan memaklumkan syarikat tersebut setakat ini menanggung kerugian mencecah RM1 juta.

"Kematian sehingga lapan peratus ini adalah situasi melebihi kematian biasa kerana ayam mengalami 'heat stress'.

"Suhu memang kita tidak boleh kawal, apa yang kami boleh lakukan ialah mandikan ayam guna sistem 'sprinkler' atau pancutan air," kata Mohd Gary ketika memantau keadaan di sebuah reban di Kampung Rambutan, di sini hari ini.

Tambahnya, kos operasi turut meningkat kerana terpaksa menggunakan sistem pancutan air 24 jam sehari bagi mengurangkan suhu panas di dalam reban.

Katanya lagi, cuaca panas berpanjangan ini juga menyaksikan tempoh matang ayam ternakan kini lebih panjang.

"Jika cuaca panas ini berlarutan, kami terpaksa mengehadkan kemasukan ayam ternakan bagi meminimumkan kematian dan kerugian syarikat," ujarnya.

Setakat ini, operasi syarikat berkenaan di Kampung Rambutan hanya memberi fokus kepada menguruskan 165,000 ekor ayam daging.
Cuaca panas berterusan sejak awal tahun ini menyaksikan Kuala Nerang mencatat suhu konsisten di antara 35 hingga 36 darjah Celsius setiap hari terutama di sebelah siang.

Tiada ulasan: