HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 April 2016

Silang budaya antara dua sekolah


‎Silang budaya antara dua sekolah
Gabungan pelajar SMJK Sin Min dan SM Al-Islah membuat persembahan Hari Anugerah Kecemerlangan Akas kepada pelajar cemerlang sesi 2015.
 

SUNGAI PETANI - Program silang budaya yang dipraktikkan oleh Sekolah Menengah (SM) Al-Islah berjaya memupuk perpaduan apabila pelajar didedahkan untuk menghormati budaya dan bahasa kaum lain.

Pada peringkat awal, pihak sekolah mengadakan kunjungan muhibah ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sin Min yang kemudian cetus kolaborasi erat antara kedua-dua sekolah menggalakkan pergaulan pelajar yang berbeza agama dan bangsa.

Menurut Pengetua SM Al-Islah, Ainon Ariffin, pendidikan silang budaya yang ditekankan selaras sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan oleh Pusat Pendidikan Al-Islah (PPAI) bawah Pelaksanaan Pentaksiran Konstruk Pelajar IKRAM-MUSLEH (PKPIM) bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan di antara kaum di negara ini.

“Bersempena dengan kunjungan muhibah yang diadakan tahun lalu, pelajar sekolah kami berpeluang untuk membuat persembahan nasyid dan juga seni mempertahankan diri di hadapan pelajar SMJK Sin Min untuk memperkenalkan budaya kita kepada kaum lain.

“Tahun ini pula, pelajar SMJK Sin Min menonjolkan bakat persembahan  Gendang 24 Musim bagi menyerikan majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Sahsiah (Akas) kepada pelajar-pelajar  yang cemerlang pada sesi 2015 selepas persembahan Seni Mempertahankan Diri (BaSeD) daripada pelajar SM Al-Islah,”katanya.

Ainon berkata, keunikan persembahan berlainan kaum antara sekolah itu mendapat pujian daripada Ketua Penolong Pengarah, Sekolah Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Ismail Yahya atas inisiatif yang julang kali yang diambil pihak sekolah.

“Selain daripada pujian, pihak sekolah juga diminta teruskan jalinan kolaborasi dengan sekolah berkenaan dari aspek akademik mahupun aktiviti yang lain seperti sukan, program kebudayaan dan sebagainya,”katanya.

Lanjutan saranan serta kerjasama sangat baik daripada Pengetua SMJK Sin Min, Ong Chan Boon, SM Al-Islah meneruskan jalinan dua sekolah menerusi aktiviti sukan, baru-baru ini.

“Pihak sekolah mengadakan perlawanan persahabatan dengan SMKJ Sin Min, pada 16 April lalu.

Antara acara yang dipertandingkan bola tampar, ping pong dan badminton.

“Saya yakin, menerusi program ini juga berjaya menjalin persefahaman, meluputkan rasa syak wasangka dan prejudis yang tidak berasas dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum khususnya pelajar sekolah khususnya sekolah satu aliran,”katanya.

Di samping itu, beliau berkata hasil kolaborasi antara dua sekolah berkenaan, pelajar sekolah turut diberi peluang untuk mempelajari permainan ‘Diabolo’ iaitu satu permainan berasal dari China.

“Sekumpulan pelajar tingkatan dua dari sekolah kami mendapat latihan di SMJK Sin Min untuk  bermain ‘Diabolo’ iaitu satu permainan memegang stik kayu yang ikat dengan tali nilon dengan menggunakan kedua-dua belah tangan.

“Iaitu, pemain dilatih seperti bermain ‘yo-yo’ daripada terjatuh dan memutarkan ‘Diabolo’ dengan laju untuk melakukan pelbagai aksi yang mengagumkan. Dengan aktiviti sebegini juga dapat merapatkan jurang komunikasi antara pelajar aliran agama dan aliran bahasa Cina,”katanya.

Ainon berkata, pihaknya sedang merancang melatih pelajar SMJK Sin Min bagi pertandingan forum Bahasa Melayu yang dijangka diadakan peringkat SMJK Cina di negeri ini.

“Pihak kami dalam perancangan mengadakan kelas Mandarin dengan khidmat tenaga pengajar SMJK Sin Min pada hujung tahun ini bagi mengajar pelajar dan guru sekolah dalam konteks mengukuhkan integrasi etnik di Malaysia dan menjadi nilai tambah khusus pelajar ketika menjejak kaki ke dunia luar.

“Ini kerana penguasaan bahasa ketiga juga memberi ruang kepada pelajar mempelajari budaya dan bahasa kaum lain walaupun berasal dari sekolah agama.

“Nilai tambah mempelajari bahasa asing selain Bahasa Inggeris adalah kelebihan dan juga membantu produktiviti ketika berada di peringkat di dunia luar yang peluang dengan persaingan khususnya alam pekerjaan, nanti,” katanya.

Tiada ulasan: