HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 April 2016

Wong terkejut dengan pencalonan Watson

MALAYSIAKINI




P'RAYA S'WAK Calon langsung BN, Datuk Seri Wong Soon Koh agak bersedia untuk pertarungan pelbagai penjuru bagi mempertahankan kerusi Bawang Assan tetapi tidak menjangka berdepan dengan calon daripada PBB.

Ketika mengisi borang penamaan calon di Dewan Suarah di Sibu, beliau terkejut melihat anggota majlis tertinggi PBB, Watson Bangau, menunggu gilirannya.

"Saya ingat beliau adalah kawan daripada parti yang sepatutnya berdiri di sisi saya," kata bekas presiden UPP, sebuah parti serpihan SUPP.

"Saya mengenalinya dan asal daripada keluarga yang terkenal di Bawang Assan," katanya mengenai peguam berusia 57 tahun yang menjadi ketua cawangan PBB di kawasan itu.

Setiausaha Agung PBB, Datuk Dr Stephen Rundi Utom, dalam kenyataan malam tadi, mengumumkan bahawa Watson dipecat daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Wong, 74, memberitahu media bahawa beliau tidak tahu kenapa Watson datang sebagai calon Bebas untuk menentangnya.

Anggota media tidak dapat komen daripada Watson kerana beliau telah meninggalkan pusat penamaan dengan segera sebaik sahaja pegawai pengurus pilihan raya, Wong Hee Sieng mengumumkan senarai calon.

Calon lain ialah Wong Sing Wei daripada STAR, Chiew Sung Ngie (DAP), dan seorang lagi calon Bebas, Yeu Bang Keng.

Ditanya sama ada beliau tidak mempunyai kelebihan selepas keluar daripada UPP untuk bertanding sebagai calon langsung, Wong berkata: "Tidak... rakyat mengenali saya sebagai anggota BN dan calon 'Pasukan Adenan'."

Sementara itu, Dr Stephen berkata Watson dipecat berkuatkuasa serta merta kerana bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Bawang Assan.

"Biar saya mengulangi bahawa kami (PBB) tidak akan dan tidak membenarkan mana-mana ahli parti menentang mana-mana calon BN.

"Mana-mana ahli yang melanggar pendirian ini akan dikenakan tindakan sama," kata Rundi dalam kenyataan.- Bernama


Tiada ulasan: