HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 April 2016

Tanah kami, nyawa kami: Orang Asal Pahang rayu sokongan semua rakyat

Lubuk Perah2
Oleh Hafiz Zainuddin


BERA: Hampir dua bulan penduduk kampung Lubuk Perah dari kaum Semelai bermukim di hadangan kayu sempadan tanah adat mereka yang diceroboh jentolak, namun suara mereka terus tidak diendah kerajaan Barisan Nasional di Pahang.

Tok Batin Kampung Lubuk Perah, Hajemi bin Din, berkata ini bukanlah kali pertama ia diutarakan kepada umum, malah pihaknya sendiri telah dua kali melakukan pertemuan dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

“Tetapi tiada tindakan dari kerajaan negeri, akhirnya kami dapat tahu tanah tersebut sudah diberi hak milik kepada syarikat Seri Jengka, walaupun telah dibantah sejak 8 November 2013,” jelas beliau.

Mahu supaya isu pencerobohan ini diselesaikan segera, beliau menyeru masyarakat Malaysia supaya memberi sokongan moral kepada pihaknya demi memperjuangkan tanah dan wilayah adat mereka yang diceroboh pemaju swasta.

Lubuk perah
Tengku Zulpuri (kanan) bersama aktivis Wong Tack serta beberapa wakil NGO.

“Di sini saya merayu masyarakat umum memberi sokongan moral kepada kami, Orang Asli, bukan itu sahaja malah satu tindakan konkrit demi menyelamatkan hutan untuk warisan anak-cucu kita,” pinta beliau dalam satu sidang media di sini baru-baru ini.

Sidang media di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Mentakab, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, yang juga merupakan Ketua Pembangkang DUN Pahang, turut dihadiri oleh aktivis Himpunan Hijau, Wong Tack.

Dalam nada yang serupa, Tengku Zul mendesak supaya pencerobohan wilayah adat Orang Asal Semelai di Kampung Lubuk Perah diselesaikan segera oleh pihak berkuasa.

“Saya berasa sangat hairan mengapa sampai sekarang kerajaan negeri seolah-olah tidak melakukan tindakan. Ia bukan sahaja telah menjejaskan mata pencarian penduduk kampung, tetapi masa depan mereka.

“Sudah lebih 50 hari penduduk bergilir-gilir jaga sempadan. Di mana perginya agensi-agensi kerajaan yang sepatutnya membela hak orang asal? Mana pergi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), mengapa mereka tak bertindak?” soalnya.

Dalam perkembangan berkaitan, pada 17 dan 18 April minggu lalu, Jaringan Orang Asli Pahang (JKOAP) telah menganjurkan “Solidariti bersama orang asli (Semelai) Kampung Lubuk Perah” sempena Hari Bumi Sedunia bertempat di hadangan kawasan tersebut.

P1040512_1
Tinjauan Roketkini.com mendapati, tebing hulu Sungai Bera terjejas akibat pencerobohan hutan. Kredit foto Hafiz Zainuddin.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah tinjauan ke kawasan yang diceroboh, sesi penerangan dan perbincangan bersama aktivis, wakil-wakil NGO dan parti politik. Acara turut disertai Tengku Zulpuri yang juga Naib Pengerusi DAP Pahang, Setiausaha Organisasi DAP Pahang Leong Yu Man,Wong Tack, dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA).

Tinjauan Roketkini.com pada 9 dan 10 April sebelum itu mendapati, sebahagian besar hutan wilayah adat masyarakat Semelai ini telah musnah manakala penduduk terpaksa menangguhkan pekerjaan mereka semata-mata demi menjaga hadangan dari dimasuki jentera pemaju.

Mereka juga mendakwa, ada pihak tertentu menerbangkan drone seolah-olah meninjau kawasan pondok sementara yang didirikan di hadangan berkenaan.

Hampir semua penduduk Kampung Lubuk Perah mengusahakan penanaman getah secara kecil-kecilan dengan pendapatan purata bagi setiap keluarga sekitar RM1,000 hingga RM1,500 sebulan dan sebahagian lain melakukan ‘kerja-kerja kampung’ dengan memungut hasil hutan dan kraftangan. – Roketkini.com

Tiada ulasan: