HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 April 2016

Kami sedaya upaya berunding dengan DAP, kata PKR

MALAYSIAKINI




Rundingan dengan DAP berhubung agihan kerusi yang bertindih pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11 terbuka sehingga hari terakhir sebelum hari penamaan calon hari ini, kata Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian.

"Kami juga mengemukakan cadangan untuk menyelesaikan pertikaian. Malangnya, kami tidak mendengar sebarang khabar dari DAP hingga tengah malam semalam," kata Baru dalam satu kenyataan media.

Beliau juga mendedahkan bahawa keputusan PKR untuk menamakan calon mereka dibuat secara kolektif, oleh pemimpin-pemimpin negeri dan pusat.

"Kerusi-kerusi yang kami tanding adalah tempat-tempat yang kita telah kerja keras selama bertahun-tahun.

"Pakatan Harapan melalui proses rundingan, bersetuju dengan pembahagian untuk 95 peratus daripada jumlah kerusi, dan terdapat hanya lima peratus kerusi di mana kita tidak dapat mencapai kata sepakat.

"Pencapaian seumpama ini memang luar biasa kerana rundingan tidak pernah mudah," katanya.

Sebagai sekutu dalam pakatan pembangkang, Baru berhujah, PKR telah melakukan sedaya upaya mereka.

"Pada 22 April, apabila kita sampaikan watikah pelantikan kepada calon-calon yang dibuat tiga hari sebelum hari penamaan calon, kami hanya menyampaikan watikah pelantikan kepada 35 calon.

“Ini tidak termasuk calon di kerusi yang terdapat pertindihan tuntutan kerana PKR menghormati proses rundingan berterusan," katanya.

Baru berkata musuh sebenar parti-parti pembangkang adalah BN, dan berharap mereka boleh mengketepikan perbezaan untuk memberi tumpuan kepada perjuangan lebih besar.

Tiada ulasan: