ARIF ATAN
Dalam
pergolakan pentadbiran kerajaan negeri Terengganu pada masa ini, adalah
lebih baik Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman mendapat perkenan
sultan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun), kata Timbalan
Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil.
Menurutnya, perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri
memperuntukkan pelantikan Menteri Besar berpandukan sokongan majoriti
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) atas dasar demokrasi.
"Demokrasi adalah satu sistem pemerintahan yang mana rakyat itu
mempunyai hak untuk memilih pemerintah. Sultan harus melantik Menteri
Besar mengikut kehendak majoriti Adun dan bersandarkan konsep raja
berperlembagaan, sultan terikat dengan peruntukan tersebut.
"Jika Menteri Besar hilang sokongan majoriti Adun, ia hendaklah
dibuat melalui satu undi tidak dipercayai di Dun," ujarnya ketika
dihubungi Malaysia Dateline.
Mengulas lanjut pertukaran Menteri Besar, Faiz berkata, pelantikan
yang baharu boleh dibuat berdasarkan sokongan majoriti Adun tetapi
sebaik-baiknya Dun dibubarkan bagi mendapat mandat rakyat.
"Jika prinsip perlembagaan ini dihormati oleh semua pihak, maka
sistem pentadbiran kerajaan akan berjalan lancar dan efisien," jelas
pengamal undang-undang itu.
Sebaliknya, tambah beliau, jika wujud campur tangan pihak istana
berkaitan kedudukan seseorang Menteri Besar, kelicinan pentadbiran
kerajaan boleh terjejas selain bercanggah dengan inti pati peruntukan
dan prinsip perlembagaan.
"Suara rakyat suara keramat. Biarlah rakyat melaksanakan kuasa dan
hak mereka yang semakin ditindas dan dizalimi hari ini untuk memilih
pemimpin mereka," tegas Faiz lagi.
Spekulasi
berhubung kedudukan Menteri Besar Terengganu berlaku apabila Sultan
Mizan Zainal Abidin melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan
kepada Ahmad Razif berkuatkuasa Jumaat, 22 April lalu.
Bahkan, sebelum itu pelbagai kemelut politik dilihat menyelubungi
kepimpinan Ahmad Razif sebagai Menteri Besar Terengganu yang ke-14 sejak
dilantik pada 12 Mei 2014 menggantikan Datuk Seri Ahmad Said.
Tidak sampai 24 jam Adun Seberang Takir itu berada di tampuk jawatan
Menteri Besar, tiga Adun BN dimulai dengan Adun Kijal iaitu Ahmad Said
mengumumkan untuk keluar dari Umno dan bertindak sebagai wakil rakyat
bebas diikuti Adun Ajil, Ghazali Taib serta Adun Bukit Besi, Roslee
Daud.
Walau bagaimanapun, sehari selepas itu mereka bertiga kembali
menyertai Umno dengan Ahmad Said dan Ghazali memohon maaf kepada Najib
Razak manakala Roslee menarik semula surat keluar dari Umno.
Hubungan dingin antara Ahmad Said dan Ahmad Razif yang diperkatakan
banyak pihak terbukti apabila Ahmad Said pada 8 Mac lepas mengemukakan
usul undi tidak percaya ke atas Ahmad Razif semasa perbahasan titah
Sultan Mizan pada Penggal Keempat Sidang Dun ke-13.
Walaupun begitu, Yang Dipertua Dun, Datuk Mohd Zuber Embong menolak usul undi tidak percaya tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib Razak yang juga Pengerusi BN pada
Isnin, 25 April lalu berkata, akan menghadap segera Sultan Mizan dalam
tempoh terdekat berhubung isu Menteri Besar Terengganu itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan