Rakyat Melaka digesa mengambil langkah penjimatan penggunaan air mulai sekarang bagi memanjangkan hayat bekalan air negeri.
PETALING JAYA: Bekalan air Melaka tidak akan mampu bertahan sehingga September sekiranya cuaca panas berlarutan sehingga tempoh itu, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.
Sehubungan itu, rakyat Melaka digesa mengambil langkah penjimatan penggunaan air mulai sekarang bagi memanjangkan hayat bekalan air negeri.
Kerajaan Melaka juga menimbang untuk memberikan ganjaran wang tunai kepada mereka yang melaporkan perbuatan mencemarkan sungai dan bekalan air di negeri itu.
“Mungkin kita ambil langkah alternatif seperti bina telaga tiub namun paling penting kita semua mesti jimat air mulai sekarang.
“Usaha ini perlu kerjasama semua, selain langkah itu kita hanya mampu berdoa,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini, lapor BERNAMA.
Pada 22 April lepas, Menteri Datuk Wilfred Madius Tangau dilaporkan berkata Malaysia dijangka mengalami masalah bekalan air sehingga September berikutan cuaca panas dialami sekarang diramal berterusan sehingga tempoh itu.
Berdasarkan laporan Badan Kawal Selia Air Melaka hari ini, paras air di Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah pada tahap 40.6 peratus, Empangan Jus di Jasin (71 peratus) dan Empangan Asahan di Jasin (83.6 peratus).
Ketua Menteri berkata sebanyak 200 juta gelen air sehari sedang dipam dari Empangan Jus ke Empangan Durian Tunggal bagi menstabilkan bekalan air yang menghampiri tahap kritikal.
Menurut Idris, hujan sekejap-sekejap tiga hari ini meningkatkan bekalan air kira-kira 10 peratus, bagaimanapun sekiranya cuaca panas berlarutan bekalan air sekarang hanya mampu bertahan sehingga dua minggu, sebelum apa-apa tindakan termasuk catuan air dilaksanakan.
Sementara itu di Kelantan, BERNAMA melaporkan pembenihan awan akan dilakukan dalam masa terdekat jika masih tiada hujan turun di negeri itu.
“(Bagaimanapun) bekalan air masih cukup setakat ini dan kita jangka kalau tidak hujan berterusan sehingga akhir Mei mungkin kita akan menghadapi sedikit masalah.
“Jika El Nino berterusan sehingga pertengahan Jun kita ada masalah dan kita perlu catu (bekalan air),” kata EXCO Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad kepada pemberita seusai mesyuarat MMKN di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.
Semalam, Menteri Wilfred Madius Tangau dipetik sebagai berkata Kota Bharu dan Machang mencatatkan bilangan hari tanpa hujan melebihi 10 hari berturut-turut, dan Pasir Mas mencatatkan 10 hari tanpa hujan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan