HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 April 2016

MB Terengganu jalankan tugas seperti biasa, tanda krisis semakin reda

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Krisis politik yang melanda Terengganu sejak minggu lalu ekoran penarikan balik darjah kebesaran terhadap Menteri Besar, Ahada Razif Abdul Rahman, menampakkan tanda-tanda sudah reda.
 
Laporan mStar yang memetik sumber dalam kerajaan negeri berkata Ahmad Razif seperti biasa menghadap Sultan Mizan Zainal Abidin semalam untuk memaklumkan perkembangan mesyuarat Exco.
 
Menteri Besar kebiasaannya akan memaklumkan kepada sultan di negeri masing-masing mengenai keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Exco dan membincangkan hal pentadbiran negeri.
 
Wartawan yang tidak mengetahui beliau menghadap Sultan Mizan di istana, menunggu di Wisma Darul Iman sejak pukul 8.30 pagi.
 
Kira-kira pukul 9.30 pagi kenderaan rasminya memasuki kompleks kerajaan dan Ahmad Razif tersenyum dan menyapa pemberita tetapi tidak memaklumkan mengenai beliau menghadap Sultan Mizan.
 
Semua sembilan ahli exco turut hadir pada mesyuarat tersebut.
 
Malam tadi, Ahmad Razif turut berada di istana untuk menghadiri tazkirah disusuli dengan solat maghrib dan isyak.
 
Spekulasi berhubung jawatan menteri besar mula tercetus selepas istana mengeluarkan kenyataan rasmi memaklumkan Ahmad Razif sah dilucutkan semua darjah kebesaran termasuk gelaran "Datuk Seri" yang dikurniakan oleh Sultan Mizan berkuat kuasa 22 April lalu.
 
Tidak dapat dipastikan punca kepada penarikan balik gelaran kebesaran berkenaan tetapi timbul spekulasi bahawa beliau telah menyinggung perasaan sultan.
 
Difahamkan sebaik sahaja menyerahkan segala gelaran kebesarannya pada Jumaat lalu, Ahmad Razif berlepas ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Perdana Menteri.
 
Sumber dalaman kerajaan negeri berkata beliau menawarkan diri untuk melepaskan jawatannya tetapi ditolak Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
Najib yang sibuk berkempen dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak berkata beliau akan menghadap Sultan Terengganu bagi membincangkan krisis tersebut.
 
Ahmad Razif turut memberitahu pemberita semalam bahawa beliau menyerahkan perkara itu kepada perdana menteri.
 
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Mohd Jidin Shafee yang juga ADUN Permaisuri mendedahkan Ahmad Razif berkata beliau akan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat berhubung masa depannya sebagai Menteri Besar.
 
Mohd Jidin berkata Ahmad Razif juga meminta semua ahli exco untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
 
"Beliau beritahu kami untuk teruskan tugas sebagai wakil rakyat dan beliau akan menerima apa sahaja keputusan selepas pertemuan perdana menteri dengan Sultan Mizan.
 
"Bagi pihak kami, kami akan memberikan sepenuh sokongan kepada beliau sehingga keputusan mengenainya dibuat," kata Mohd Jidin.
 
 

Tiada ulasan: