SUBANG - Tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menanam persepsi bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara selama lima tahun sebagai tahanan politik terus mendapat kecaman daripada Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos.
Jamal mendakwa, Azmin merupakan seorang Menteri Besar 'bangsat' apabila mengabaikan perintah polis yang mengarahkan papan iklan #BebasAnwar diturunkan.
"Kalau pihak kerajaan negeri dibawah pimpinan Azmin Ali masih mempertikaikan Anwar Ibrahim sebagai tahanan politik, maka bangsatlah dia.
"Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sudah membei arahan supaya billboard ini diturunkan serta merta, jadi saya lihat masih tidak diturunkan," katanya ketika ditemui wartawan di Lapangan Terbang antarabangsa Subang..
Dalam pada itu, Jamal memaklumkan bahawa beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sendiri selain menggesa pihak berkuasa tegas dalam menjalankan tugas.
Beliau berkata,kerajaan negeri tidak terlalu berminat untuk menjaga kebajikan rakyat sebaliknya hanya menumpukan terhadap politik semata-mata.
"Saya minta polis bertegas untuk turunkan papan iklan ini dan pihak NGO tidak akan teragak-agak dalam waktu terdekat untuk ambil tindakan ikut cita rasa kami sendiri.
"Saya melihat kerajaan negeri bukan berminat sangat nak membela rakyat tapi hanya nak bermain politik untuk memburukkan kerajaan pusat sedangkan apa yang mereka lakukan di negeri Selangor hanya main wayang," katanya.
Sebelum ini, Azmin Ali telah disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung papan iklan #BebasAnwar.
Beliau beranggapan polis hanya membuang masa dengan melakukan siasatan tersebut kerana percaya tindakan menaikkan papan iklan itu tidak salah.
Buat masa ini, papan iklan #BebasAnwar ditempatkan di 20 lokasi di Selangor, termasuk Subang dan Rawang.
Namun beberapa papan iklan di Ampang telah diturunkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan