HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 April 2016

Bekas banduan kongsi pengalaman sedih Anwar di penjara

MALAYSIA DATELINE


Sulaiman AjikSulaiman AjikDi sebalik tirai besi, tiada siapa menyangka, kehadiran Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuka lembaran baharu kepada penghuni-penghuni Penjara Sungai Buloh.

Sulaiman Ajik, 49 yang baru dibebaskan selepas dipenjara enam bulan hadir ke pejabat Suara Keadilan berkongsi cerita dan pengalamannya bersama Anwar.

Sulaiman dipetik berkata, kali pertama dia melihat Anwar di dalam sel waktu itu, dia cukup sayu dan sedih.

"Tidak dapat digambarkan bila seorang pemimpin seperti beliau meringkuk di penjara dalam keadaan sedemikian rupa.

“Tapi beliau tidak mudah patah semangat. Dalam penjara pun, beliau selalu beri kata-kata semangat pada semua banduan-banduan lain,” kata Sulaiman menceritakan detik-detik awal ketika melihat sosok tubuh pemimpin berjiwa besar di hadapannya waktu itu lapor Suara Keadilan.

Sulaiman berkata, masa Anwar banyak dihabiskan dengan mentelaah buku agama dan membaca Al Quran.

Malah Anwar juga mengimamkan lebih 300 jemaah banduan dan petugas-petugas penjara serta menyampaikan tazkirah seusai solat.

“Beliau langsung tidak menyentuh isu politik, semua pengisian adalah berbentuk nasihat dan bagaimana mahu menjadi manusia yang baik dan berguna kepada manusia.

“Tetapi yang menariknya apabila Anwar memberi tazkirah, para banduan seolah-olah terpaku dan sentiasa ternanti-nanti pada esoknya apa yang ingin Anwar sampaikan,” katanya yang membenarnkan gambarnya dirakam ketika temubual diadakan di pejabat PKR.

Sulaiman dipenjarakan atas dakwaan memiliki barang curi selepas mendakwa dirinya diperdaya untuk membeli sebuah laptop daripada seorang pelajar.

Menceritakan pengalamannya lebih lanjut, Sulaiman berkata keadaan sel penjara sangat menyeksakan bagi individu seusia Anwar.

Apatah lagi, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut menderita sakit belakang.

Mungkin selepas mendapat bantahan peguam, katanya, Anwar diberikan sebuah meja sebagai alas tempat tidur.

“Tetapi yang sedihnya hanya tilam nipis sebagai pengalas perbaringan. Untuk bantal pula atas inisiatif banduan-banduan yang lain yang mengumpulkan lipatan kain dan dimasukkan ke dalam sarung sebagai bantal untuk Anwar tidur,” ceritanya sayu.

Dalam wawancara bersama Suara Keadilan, Sulaiman turut menceritakan kegemaran Anwar menyanyikan lagu Azizah dan berpuisi ketika berada dalam sel penjara.


Tiada ulasan: