HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 April 2016

Zaid tak perlu campur urusan Pakatan Harapan, kata Abdullah Sani

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic


SHAH ALAM: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim diminta supaya tidak mencampuri urusan keluarga Pakatan Harapan tegas Pengerusi Biro Pekerja PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) ada cara sendiri menyelesaikan isu dalaman mereka apabila selesainya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 7 Mei ini.

"Tidak perlu campur itu urusan keluarga kami. Kita fokus pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ini. Jadi ada apa-apa kita bincang (selepas) 7 Mei ini.

"Untuk dia meletakkan satu pandangan itu saya kira (dia) tidak perlu campur urusan keluarga Pakatan Harapan ini. Biar kami selesaikan masalah kami dengan cara terbaik," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.

Abdullah mengulas tindakan Zaid mahu mengundang pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang ke majlis makan malam menjelang pilihan raya Sarawak 7 Mei dan menyatakan kepada tokoh DAP itu supaya melupakan sahaja perjanjian pilihan raya bersama PKR.

Zaid yang pernah berjuang bersama PKR selepas meninggalkan Umno berkata beliau sedih melihat Lim perlu memohon maaf kepada rakyat Sarawak kerana kengganan PKR mematuhi perjanjian.

DAP dan PKR kini bertembung di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selepas gagal menyelesaikan isu pengagihan kerusi.

Menerusi perjanjian bertulis berhubung pengagihan kerusi yang ditandatangani antara PKR dan DAP pada 7 April lalu, kerusi Batu Kitang, Marudi, Machan, Layar dan Belaga telah diperuntukkan kepada PKR.

Sementara kerusi Senadin, Mulu, Tasik Biru, Simanggang, Mambong, Bukit Semuja, Ngemah dan Murum akan ditandingi DAP.

Bagaimanapun, PKR dilihat 'mencabuli' persetujuan pembahagian kerusi itu dengan bertanding menentang DAP di Mulu, Mambong, Ngemah, Simanggang dan Murum.

DAP pula membalas dengan meletakkan calonnya menentang PKR di Batu Kitang.


Tiada ulasan: